Khamis, 18 Julai 2019 | 4:20pm
KETUA Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa. - Foto Khairul Azhar Ahmad
KETUA Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa. - Foto Khairul Azhar Ahmad

MATRADE, OIC perkukuh hubungan dagang

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Kewangan Islamik Antarabangsa (ITFC) dalam usaha mengukuhkan hubungan dagangan dengan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa, berkata MoU yang dimeterai buat kali kedua itu akan memberi tumpuan lebih mendalam dan spesifik dalam bidang e-perniagaan, tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur, minyak dan gas serta pembangunan kapasiti.

Katanya, susulan daripada MoU itu, pegawai dari kedua-dua pihak akan sama-sama duduk berbincang bagi merangka pelan tindakan yang seterusnya.

"Menerusi MoU ini juga, kita menjangkakan prestasi dagangan dua hala di antara Malaysia dan OIC akan meningkat.

"Saya tidak mempunyai sasaran spesifik mengenainya, namun dengan MoU ini ia akan membuka pintu untuk kerjasama lebih rapat, bukan setakat di peringkat MATRADE dan ITFC, tetapi juga kepada pihak swasta," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu di sini, hari ini.

Pada majlis itu, MATRADE diwakili oleh Wan Latiff, manakala ITFC oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hani Salem Sonbol.

MoU itu adalah yang kali kedua dimeterai selepas kali pertama pada 2009.

Jumlah dagangan Malaysia dengan OIC merekodkan pertumbuhan 22.6 peratus sepanjang lima tahun dari RM147.9 bilion pada 2014 kepada RM183.71 bilion pada 2018.

Eksport turut meningkat sebanyak 15.6 peratus bagi tempoh sama dari RM78.7 bilion kepada RM90.5 bilion pada 2018.

Eksport utama Malaysia ke OIC adalah minyak sawit, produk agrikultur berasaskan minyak sawit, produk petroleum dan kimia serta produk kimia.

Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Turki dan Bangladesh adalah rakan dagang utama Malaysia dalam OIC.

Ditanya mengapa MoU kedua tidak diperbaharui sejurus MoU pertama berakhir pada 2011, Wan Latiff menjelaskan biarpun ia tidak diperbaharui ketika itu, ia tidak menghalang MATRADE dan ITFC untuk terus bekerjasama.

"Seperti baru-baru ini kedua-dua pihak bekerjasama dalam program pembangunan kapasiti untuk salah satu negara ahli OIC iaitu Mesir.

"Menerusi program ini, kami membawa pegawai kanan dari agensi pembangunan perdagangan Mesir ke Malaysia selama dua minggu yang mana MATRADE menjalankan program latihan berkaitan bidang e-perniagaan," katanya.

Berita Harian X