Rabu, 17 Julai 2019 | 12:10pm
DARI kiri; Paul McManus, Pegawai Perniagaan Maxis Chief Enterprise, Gokhan Ogut, CEO Maxis, Ngan Chee Meng, Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, dan Aw Sei Cheh, Gamuda Land COO, semasa majlis menandatangani MoU di Kuala Lumpur. - Foto NSTP

Maxis, SMA jalin usaha sama dalam inisiatif IoT

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Sarawak Multimedia Authority (SMA) bagi melaksanakan usaha sama dalam Inisiatif Objek Rangkaian Internet (IoT) dan Objek Rangkaian Internet Jalur Sempit (NB-IoT).

Dalam kenyataan, Maxis berkata kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan kepakaran dan perkongsian pengalaman serta pengetahuan dalam aplikasi penyelesaian konsep IoT dan NB-IoT, dan pada masa sama memperkukuh rantaian perkongsian dalam reka bentuk, pembangunan dan pelaksanaan penyelesaian IoT dan NB-IoT.

Kedua-dua pihak juga akan membangunkan ekosistem kukuh menerusi sokongan penubuhan makmal dan sokongan pakar bagi membangunkan penyelesaian mampan dan pintar.

Ketua Pegawai Perniagaan Maxis, Paul McManus, berkata penyedia perkhidmatan komunikasi itu menyambut baik usaha SMA dalam membantu memacu agenda ekonomi digital negeri dengan mengiktiraf keperluan mendesak untuk mempercepat teknologi digital dalam kebanyakan industri.

"Maxis terus komited untuk menjadi rakan kongsi padu kerajaan menerusi kepimpinan dalam rangkaian, perkhidmatan digital dan penyelesaian perhubungan.

“Kami mahu memainkan peranan penting dalam menyampaikan perkhidmatan dan penyelesaian NB-IoT, terutama kepada sektor utama negara seperti pertanian dan pembuatan," katanya.

Pengurus Besar SMA, Dr Zaidi Razak, pula berkata strategi utamanya meliputi usaha sama antara sektor kerajaan dan swasta.

"Dengan memanfaatkan kepakaran rakan-rakan, kami dapat merealisasikan cita-cita kami. Sehubungan itu, kami gembira dapat bekerjasama dengan rakan-rakan seperti Maxis untuk mencapai matlamat bersama iaitu memanfaatkan potensi teknologi inovatif untuk meningkatkan kehidupan masyarakat," katanya.

Maxis melancarkan perkhidmatan NB-IoT komersil pertama di Malaysia pada April 2019, dengan Kuching menjadi antara pusat pasaran IoT utama melalui pengaktifan rangkaian NB-IoTnya.

Pelancaran itu membolehkan perniagaan menggunakan aplikasi IoT perindustrian untuk membentuk aliran data baharu, yang membolehkan tindakan dengan menyambungkan peranti mudah seperti sensor.

Sementara itu, Maxis terus memperkukuh kehadirannya di Sabah dan Sarawak menerusi pelaburan dan pengembangan rangkaian mudah alih dan rangkaian fiber berkelajuan tinggi, serta titik sentuhan pengagihan dan pelanggan. - BERNAMA

Berita Harian X