Jumaat, 12 Julai 2019 | 2:44pm
KETUA Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin. - Foto Rohanis Shukri

Jualan dagang borong, runcit meningkat

KUALA LUMPUR: Jualan perdagangan borong dan runcit tumbuh 6.8 peratus tahun ke tahun kepada RM110.8 bilion pada Mei 2019 yang didorong oleh kempen promosi bersempena perayaan Aidilfitri, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan pada Mei disumbangkan terutama daripada jualan kenderan bermotor dan perdagangan runcit yang berkembang masing-masing 9.1 peratus dan 7.8 peratus tahun ke tahun

Beliau berkata berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan borong dan runcit berkembang 5.1 peratus berbanding April 2019.

“Kesemua sub-sektor mengalami pertumbuhan positif pada Mei 2019 selepas merekodkan pertumbuhan negatif pada April 2019.

“Pengembangan itu didorong oleh peningkatan harga jualan kenderaan bermotor yang meningkat 8.8 peratus bulan ke bulan berikutan kempen promosi perayaan Aidilfitri,” katanya.

Ini diikuti penjualan runcit yang bertambah 5.3 peratus bulan ke bulan dan perdagangan borong yang mencatat pertumbuhan 4.2 peratus berbanding April 2019.

Dari segi indeks jumlah, Mohd Uzir berkata perdagangan borong dan runcit mencatat kenaikan 6.2 peratus tahun ke tahun pada Mei 2019.

“Pengukuhan itu dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang berkembang 9.1 peratus tahun ke tahun dan perdagangan runcit yang bertambah 8.4 peratus tahun ke tahun,” katanya.

Jumlah perdagangan borong turut tumbuh 3.5 peratus tahun ke tahun pada Mei 2019.

-BERNAMA

Berita Harian X