Selasa, 9 Julai 2019 | 1:47pm
Mohd Redzuan (tengah) pada majlis pelancaran Program SME Rakan Kongsi Pelaburan di SME Corporation Malaysia (SME Corp), KL Sentral, hari ini. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Mohd Redzuan (tengah) pada majlis pelancaran Program SME Rakan Kongsi Pelaburan di SME Corporation Malaysia (SME Corp), KL Sentral, hari ini. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Inisiatif pembiayaan bersama RM90 juta untuk PKS

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan menyediakan akses pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan menarik pelabur swasta menyertai Program Rakan Pelaburan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SIP).

Buat permulaan, inisiatif pelaburan kerajaan dan sektor swasta itu mengumpulkan dana pemula berjumlah RM90 juta, yang mana RM40 juta adalah daripada kerajaan menerusi SME Corp, manakala selebihnya dipadankan dengan dana milik Warisan Quantum Management Sdn Bhd dan RHL Ventures Sdn Bhd.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata program yang dirancang sejak 2013 itu bertujuan untuk meningkatkan akses pembiayaan untuk PKS, khususnya yang berada di tahap awal menerusi pelarasan risiko pembiayaan modal.

Katanya, menerusi program itu, SME Corp akan melantik firma pengurus dana sebagai Rakan PKS yang bertanggung jawab mengumpul modal daripada pelabur swasta untuk dipadankan secara setara dengan dana kerajaan.

"SME Corp Malaysia sudah mengenal pasti lebih 150 rundingan berpotensi menerusi program sedia ada kami termasuk Tunas Usahawan Belia Bumiputra (TUBE), yang mana PKS yang berjaya akan melalui kajian daya maju oleh Rakan PKS.

"Dengan program ini, kita harap dapat menarik semula banyak PKS berpotensi rakyat Malaysia di luar negara yang berupaya mengembangkan ekosistem perusahaan di negara ini.

"Limpahan manfaat inilah yang meletakkan Program SIP ini sebagai satu daripada Program Berimpak Tinggi (HIPs) di bawah Pelan Induk PKS (2012-2020)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Redzuan berkata, kementerian berharap Program SIP dapat memenuhi keperluan pembiayaan PKS kepada kedua-dua instrumen pembiayaan hutang dan ekuiti untuk menggalakkan lagi pertumbuhan sektor itu dalam landskap ekonomi semasa.

Ia menyediakan pembiayaan hanya untuk PKS di peringkat antara tahun satu hingga tahun tiga pertama, sudah mempunyai operasi dan sumbangan pendapatan meliputi semua sektor khususnya berteknologi, industri pertumbuhan tinggi, inovasi dan bidang baharu muncul.

Berita Harian X