Jumaat, 5 Julai 2019 | 12:30pm
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) turun 1.1 peratus kepada AS$56.72 satu tong pada 0310 GMT. - Foto hiasan
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) turun 1.1 peratus kepada AS$56.72 satu tong pada 0310 GMT. - Foto hiasan

Harga minyak dunia turun

SYDNEY: Harga minyak mentah turun Jumaat berikutan kebimbangan berhubung prospek pertumbuhan ekonomi global mengatasi isu berkaitan ketegangan di Asia Barat yang boleh mengganggu laluan bekalan dan menyebabkan harga naik lebih tinggi.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) turun 1.1 peratus kepada AS$56.72 satu tong pada 0310 GMT.

Tidak ada harga penyelesaian pada Khamis kerana cuti Hari Kemerdekaan di Amerika Syarikat (AS).

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 0.1 peratus pada AS$63.25 satu tong, selepas ditutup 0.8 peratus lebih rendah pada Khamis.

Penganalisis berkata, minyak berada di bawah tekanan kerana kebimbangan berhubung permintaan masa depan di tengah-tengah pertikaian perdagangan yang mengancam pertumbuhan ekonomi global.

Tetapi penyusutan diimbangi komitmen untuk memotong pengeluaran oleh pengeksport minyak terbesar dunia, termasuk ahli Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar lain seperti Russia, kumpulan yang dikenali sebagai OPEC+.

"Pertumbuhan global kekal sebagai faktor utama menahan harga minyak mentah," kata Alfonso Esparza, penganalisis kanan di OANDA.

"Kesepakatan OPEC+ akan membantu mengelak harga daripada jatuh ketara, tetapi perlindungan perdagangan perlu ditamatkan bagi memastikan permintaan produk tenaga pulih."

Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS Rabu melaporkan penurunan mingguan sebanyak 1.1 juta tong dalam stok minyak mentah, jauh lebih kecil daripada lima juta tong yang dilaporkan oleh Institut Petroleum Amerika (API) awal minggu ini. - Reuters

Berita Harian X