Jumaat, 5 Julai 2019 | 10:30am
Shamsul Iskandar (tengah) bersama Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKN), Samsudin Noor meraikan penerima Anugerah Penanam Jaya pada Majlis Anugerah Citra dan Khidmat Bakti 2019, di Kota Bharu, malam tadi. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Shamsul Iskandar (tengah) bersama Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKN), Samsudin Noor meraikan penerima Anugerah Penanam Jaya pada Majlis Anugerah Citra dan Khidmat Bakti 2019, di Kota Bharu, malam tadi. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Industri kenaf dijangka cecah RM350 juta 2025

KOTA BHARU: Kerajaan mensasarkan nilai industri kenaf negara akan mencecah RM350 juta menjelang 2025.

Ia juga dijangka mewujudkan kira-kira 2,300 peluang pekerjaan.

Demikian menurut Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata, ia berikutan industri kenaf itu berpotensi besar untuk dibangunkan terutama perindustrian berasaskan biokomposit, perabot, pembinaan dan automotif.

Malah, seluas 2,068 hektar kawasan tanaman kenaf diusahakan tahun lalu melebihi sasaran 2,000 hektar sebagaimana ditetapkan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

"Pada tahun ini misalnya LKTN mensasarkan tanaman kenaf dapat diusahakan di kawasan seluas 2,400 hektar dengan anggaran nilai pengeluaran sebanyak 10,000 tan.

“Dari segi jualan pula kita sasarkan sebanyak RM7 juta berbanding jualan tahun lalu berjumlah RM5.451 juta," katanya kepada pemberita di Majlis Anugerah Citra dan Khidmat Bakti LKTN di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Tan Yew Chong, Pengerusi LKTN Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ketua Pengarah LKTN Samsuddin Noor.

Pada majlis sama, Shamsul Iskandar turut menyampaikan Anugerah Rakan Media kepada 11 pengamal media Kelantan sebagai menghargai sumbangan mereka dalam pemerkasaan agensi kerajaan itu.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata LKTN bagaimanapun perlu mendepani pelbagai cabaran termasuk kurangnya kesedaran masyarakat berhubung potensi tanaman kenaf, pembabitan industri yang masih rendah selain memperkasa usaha pengkormersilan produk kenaf.

Selain itu, katanya kementerian itu akan terus memberi fokus kepada usaha memantapkan pembangunan sektor komoditi bagi meningkatkan sumbangan pendapatan eksport kepada negara.

Menurutnya, tahun lalu sektor itu menjana pendapatan eksport sebanyak RM127.8 bilion atau 12.8 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara. - BERNAMA

Berita Harian X