Khamis, 27 Jun 2019 | 9:26pm

GCABC yakin ekonomi Malaysia lebih baik

KUALA LUMPUR: Kajian German Chambers ASEAN Business Council (GCABC) mendedahkan keyakinan yang tinggi dalam kalangan pemimpin perniagaan dari Jerman bagi ekonomi yang lebih baik di bawah kerajaan “Malaysia Baharu”.

GCABC, terdiri daripada tujuh Dewan Perniagaan dan Industri Jerman di rantau ASEAN, iaitu di Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, menjalankan kajian menggunakan saiz sampel berdasarkan rangkaian luas Jerman sebanyak 2,600 syarikat anggota di tujuh negara di Asia Tenggara.

Dalam kenyataan hari ini, katanya hasil daripada kajian AHK World Business Outlook 2019 menunjukkan keyakinan yang diharapkan oleh pelabur Jerman berhubung pembangunan di rantau Asia Tenggara, dengan majoriti peserta pada tahun ini mempunyai pandangan berhati-hati mengenai kedudukan pasaran masa depan.

Menurut GCABC, kestabilan politik dan kekurangan tenaga kerja dinyatakan sebagai faktor luaran utama yang memberi kesan kepada keputusan pelaburan secara keseluruhan.

Katanya kajian itu turut mendedahkan pendekatan mengelak risiko perniagaan Jerman terhadap kadar inflasi negara, tahap rasuah, cukai dan akses kewangan.

Bagi Malaysia, daripada syarikat yang dikaji, sebanyak 33 peratus menjangka menyaksikan pelaburan mereka meningkat dengan ketara di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC), Daniel Bernbeck, berkata ekonomi Jerman kebanyakannya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kebanyakan daripada syarikat ini milik keluarga dan memerlukan rangka kerja dan keadaan yang stabil, dipercayai dan dapat dijangka.

“Ini sebabnya, selama beberapa tahun persoalan mengenai faktor politik dan ekonomi serta kestabilan politik dan undang-undang di pasaran tertentu sentiasa menjadi sentimen paling penting untuk komuniti perniagaan,” katanya.

Rangkaian Dewan Perniagaan dan Industri Jerman yang luas di seluruh dunia menjana kekuatan daripada capaian langsung kepada perniagaan dalam semua sektor, katanya.

“Dengan mencerminkan pandangan yang jelas dan jangkaan daripada usahawan sektor swasta, kajian ini menunjukkan di mana kebimbangan mereka dan tempat mereka melihat peluang.

“Ia membantu komuniti perniagaan lain dan juga sektor awam, pentadbiran dan kerajaan,” kata Bernbeck.

-- BERNAMA

Berita Harian X