Ahad, 23 Jun 2019 | 4:54pm
PRESIDEN Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail. - Foto Salhani Ibrahim

Platform digital SME Bank bantu PKS hadapi IR 4.0

KUALA LUMPUR: Platform Digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan yang akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini mampu menjadi instrumen sokongan kepada ekosistem industri PKS tempatan mendepani gelombang Revolusi Industri 4.0.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail, berkata inisiatif terbaru yang diterajui agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan itu akan memberi hala tuju jelas mengenai segmen sasaran serta mewujudkan sinergi antara peserta dalam rantaian serta mengubah cara PKS dibantu dan dibangunkan.

“Platform digital ini mampu memacu ekosistem PKS dan seterusnya membantu perniagaan tempatan menyumbang kepada Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

“Di bawah platform digital, kami mempunyai SME Insight, yang akan mengklasifikasikan dan melihat perkembangan PKS secara terperinci dan memberi latihan kepada agensi terpilih.

“Menerusi bantuan kewangan, ia memberikan pemarkahan bersama dengan automasi robotik yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang mana PKS boleh menikmati masa yang lebih singkat dalam proses pinjaman,” katanya kepada BH, baru-baru ini.

Aria berkata, proses pinjaman konvensional yang dilaksanakan sebelum ini mengambil masa antara empat dan lima bulan untuk diluluskan.

“Kami percaya tempoh kelulusan pinjaman akan dapat dipendekkan kepada hanya sebulan di bawah inisiatif baharu ini, ditambah dengan penambahbaikan dasar dan kualiti kertas kerja yang dihantar kepada kami,” katanya.

Beliau berkata, bagi menyokong pembangunan ekosistem digital secara menyeluruh, pihaknya menjalin kerjasama dengan tiga entiti gergasi, Orion XL, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Commerce.Asia.

“Orion XL akan membantu SME Bank untuk menyediakan penyelesaian teknologi kewangan (fintech) dengan mewujudkan rangka kerja bagi skor kredit konvensional dan menyesuaikannya dengan pembiayaan dari bank.

“TM pula akan menyediakan akses kepada insfrastruktur serta perkhidmatan digitalnya seperti internet berkelajuan tinggi, pusat data dan pengkomputeran awan, yang akan berfungsi sebagai penyelesaian digital bagi keperluan pembiayaan PKS.

“Commerce.Asia akan meingkatkan keupayaan platform digital itu menerusi akses kepada lebih 700,000 pangkalan data usahawan PKS di Malaysia di samping akses kepada teknologi e-dagang yang komprehensif,” katanya.

Menurut Laporan Tahunan PKS 2017/2018 oleh SME Corporation Malaysia, terdapat 907,065 PKS di negara ini yang menyumbang 36 peratus kepada KDNK.

Sehingga kini, SME Bank membantu lebih 17,000 PKS sejak penubuhannya pada 2005 dengan pembiayaan lebih RM30 bilion.

Antara PKS yang cemerlang adalah Sabah International Dairies Sdn Bhd, Nashmir Capsules Sdn Bhd dan Meditech Gloves Sdn Bhd.

Berita Harian X