Jumaat, 21 Jun 2019 | 2:52pm
MENTERI Industri Utama, Teresa Kok melawat ruang pameran pada Persidangan Industri Getah MRPMA 2019 di Shah Alam, hari ini. - Foto Saddam Yusoff
MENTERI Industri Utama, Teresa Kok melawat ruang pameran pada Persidangan Industri Getah MRPMA 2019 di Shah Alam, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

Kementerian Industri Utama kumpul input RMKe-12

SHAH ALAM: Kementerian Industri Utama sedang merangka rancangan membabitkan industri sawit, getah, perkayuan dan komoditi lain untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Menterinya, Teresa Kok, berkata kementerian sedang giat mendapatkan maklumat dan input serta maklum balas daripada peserta industri untuk merangka rancangan masa depan itu.

Beliau berkata, input dan maklum balas peserta industri itu penting bagi merangka rancangan yang komprehensif, terutama membabitkan RMKe-12 yang akan bermula 2021-2025.

“Kami juga sedang membuat persediaan untuk belanjawan tahun depan dengan melihat keperluan yang berbeza mengikut industri.

“Pada masa sama, kami juga merangka rancangan masa depan sawit, getah dan industri komoditi lain,” katanya ketika ditemui di Persidangan Industri Getah MRPMA 2019, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Dr Tan Yew Chong, Presiden Persatuan Pengeluar Produk Getah Malaysia, Datuk Dr Ong Eng Long dan Pengerusi Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), Chik Chan Chee.

Terdahulu, dalam ucapannya, Kok berkata, kementeriannya bekerjasama dengan kementerian lain, agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memastikan semua projek pembangunan kerajaan memanfaatkan dan memaksimumkan penggunaan produk getah Malaysia, terutama produk getah berkualiti.

Beliau juga menggesa industri pembuatan getah perlu mengguna dan melaksanakan Industri 4.0 seperti yang disarankan kerajaan di bawah Pelan Hala Tuju Industri 4.0 untuk kekal berdaya saing dalam persekitaran persaingan yang mencabar.

“Dengan berbuat demikian, pengilang dapat meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos terutama mengurangkan kos buruh.

“Kerajaan juga memperuntukkan bantuan kewangan untuk menggalakkan lebih banyak kilang menggunakan teknologi Industri 4.0,” katanya.

Kok berkata, sektor pembuatan produk getah kekal menjadi penyumbang utama kepada pendapatan eksport bagi industri getah.

Tahun lalu, katanya produk pembuatan getah berjumlah RM23.71 bilion, meningkat 9.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Berita Harian X