Khamis, 20 Jun 2019 | 1:06pm

Malaysia mampu jadi destinasi teknologi ganti China - MIDF Research

KUALA LUMPUR: Malaysia mampu menjadi destinasi pengganti bagi China dalam bekalan cip dan komponen untuk syarikat teknologi dunia.

MIDF Research berkata, pengharaman Amerika Syarikat (AS) ke atas produk syarikat teknologi utama China, Huawei, sebaliknya dilihat memberi manfaat kepada Malaysia.

"Kami melihat pengeluar komponen telefon pintar Malaysia adalah antara penerima manfaat jika rantaian bekalan telefon pintar dijajarkan semula.

“Malaysia, dengan reputasi sebagai antara pembekal komponen yang boleh dipercayai, mampu menjadi destinasi pengganti bagi China dalam bekalan cip dan komponen,” katanya.

Demikian menurut MIDF Research dalam laporan tinjauan suku ketiga (Q3) yang dikeluarkan hari ini.

MIDF Research berkata, ketidaktentuan perdagangan yang semakin meningkat, mewujudkan kos kepada syarikat semikonduktor, dengan unjuran jualan yang rendah dicerminkan dalam keseluruhan saham semikonduktor dalam liputannya

Ia menjangka pasaran ekuiti berkaitan syarikat teknologi, kekal neutral pada Q3 walaupun berhadapan tekanan yang hebat dalam dagangan global, ekoran pertikaian perdagangan AS-China yang berpanjangan.

Laporan itu berkata, April 2019, peralatan semikonduktor mencatatkan bil berjumlah AS$1.9 bilion, mewakili pengurangan 29.0 peratus tahun ke tahun, selari prospek suram industri semikonduktor.

"Kami percaya pengeluar mengurangkan perbelanjaan modal yang merangkumi pengembangan keupayaan pengeluaran dan/atau pengurangan dalam pelaburan teknologi baharu," katanya.

Nikkei Asian Review dalam laporannya sebelum ini berkata, Apple Inc sedang mempertimbangkan untuk memindahkan keupayaan pengeluaran dari China ke Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Apple meminta pembekal utamanya untuk menilai implikasi kos untuk kemungkinan memindahkan 15-30 peratus keupayaan pengeluaran mereka dari China ke Asia Tenggara, ketika mana ia bersiap sedia menyusun semula rantaian bekalannya, demikian menurut laporan Nikkei Asian Review.

Pengeluar iPhone itu memutuskan bahawa risiko kebergantungan kepada pembuatan di China adalah terlalu besar dan bahkan meningkat.

Syarikat pemasangan kontrak untuk iPhone, seperti Foxconn, Pegatron Corp, Wistron Corp; Quanta Computer Inc untuk MacBook; Compal Electronics Inc untuk iPad; dan Inventec Corp dan Luxshare-ICT untuk AirPods, telah diminta untuk menilai opsyen di luar China, kata Nikkei.

Negara-negara yang dipertimbangkan termasuk Mexico, India, Vietnam, Indonesia dan Malaysia.

China adalah pasaran utama Apple, selain pusat pengeluaran utama perantinya.

Berita Harian X