Selasa, 4 Jun 2019 | 2:26pm

Metronic dakwa 2 bekas pengarah jual bangunan tanpa kebenaran

KUALA LUMPUR: Metronic Global Bhd. membuat laporan polis ke atas dua bekas lembaga pengarahnya yang didakwa menukar hak milik bangunan pejabat di China tanpa pengetahuan syarikat sehingga mengakibatkan ia rugi RM15.7 juta.

Dalam kenyataan di Bursa Malaysia pada Selasa, Metronic berkata, bekas penasihat syarikat itu, Tan Ew Chew dan bekas pengarahnya, Tan Kian Hong telah melakukan pemindahan aset tersebut pada Julai 2016 tanpa kebenaran lembaga pengarah syarikat.

Ew Chew berkhidmat sebagai penasihat Metronic dari 1 Januari 2013 hingga 16 Mei 2017, manakala Kian Hong menjadi pengarah Metronic dari 8 Februari 2013 hingga 10 April 2017.

Menurut syarikat itu, Metronic menerusi subsidiari milik penuhnya, Metronic Microsystem (Beijing) Co. Ltd. telah membeli sebuah pejabat di Beijing, China pada harga RM4 juta pada 2003, yang kini nilai hartanahnya meningkat kepada RM15.7 juta.

Metronic mendakwa sejurus perkara itu diketahui oleh lembaga pengarah baharu pada 2017, mereka telah mengarahkan peguam di China supaya menyiasat perkara itu dan mendapati pejabat berkenaan telah dipindahkan ke pihak ketiga, Shouguang Yaoweiping di China.

Seterusnya pada Oktober 2018, mahkamah China menerusi dokumen-dokumen, mengesahkan pemindahan hartanah itu kepada Shouguang.

“Metronic pada 3 Jun, membuat laporan polis mengenai siasatan terhadap Ew Chew dan anaknya, Kian Hong atas dakwaan pecah amanah dan menyebabkan syarikat kerugian lebih daripada RM15.7 juta,’’ kata syarikat itu.

Metronic berkata, syarikat kini mendapatkan nasihat perundangan dan pengumuman seterusnya akan dilakukan.

Berita Harian X