Selasa, 4 Jun 2019 | 12:01pm
Pelabuhan Klang. - Gambar hiasan
Pelabuhan Klang. - Gambar hiasan

Eksport Malaysia April dalam jajaran positif: RHB

KUALA LUMPUR: Eksport pada April melonjak ke jajaran positif, tumbuh 1.1 peratus tahun ke tahun (y-o-y), selepas menguncup 0.5 peratus dan 5.3 peratus masing-masing pada Mac dan Februari.

Dalam unjuran ekonominya, RHB Bank berkata eksport elektrik dan elektronik (E&E) pulih dengan mencatat pertumbuhan 3.9 peratus y-o-y, selepas menyusut 1.9 peratus pada Mac 2019.

"Eksport jentera dan peralatan elektrik (sebahagian besarnya semikonduktor) dan penghantaran peralatan telekomunikasi, meningkat manakala mesin pejabat dan peralatan pemprosesan data merosot pada kadar yang lebih perlahan pada bulan itu," katanya.

Sebaliknya, eksport bukan E&E meningkat pada kadar 1.4 peratus y-o-y berbanding 3.2 peratus, dengan penghantaran jentera, kelengkapan pengangkutan, produk kayu dan getah mencatatkan kadar yang perlahan.

Berdasarkan destinasi, penghantaran ke Amerika Syarikat, Jepun dan ASEAN meningkat, namun eksport ke China dan EU merosot pada bulan ini yang mengimbangi pertumbuhan eksport secara keseluruhannya.

RHB Bank berkata import meningkat kepada 4.4 peratus pada April, mengalami penurunan 0.1 peratus pada bulan sebelumnya, didorong oleh pemulihan dalam pengimportan barangan modal, manakala import barangan pengantara dan penggunaan meningkat.

"Memandangkan import mengatasi pertumbuhan eksport bulan ke bulan, lebihan dagangan April berkurangan kepada RM10.9 bilion daripada RM14.4 bilion pada bulan sebelumnya. Dari segi dolar US, import menurun pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 1.4 peratus berbanding Mac pada -4.5 peratus,” katanya.

Ia berkata, pemulihan aktiviti perdagangan pada April sebahagiannya dibantu oleh susut nilai ringgit, momentum global yang secara menyeluruh terus lemah dan dijangka bertambah buruk susulan meningkatnya ketegangan perdagangan AS-China serta kelembapan dalam pertumbuhan global seperti yang dijangkakan.

"Berdasarkan perkembangan negatif baru-baru ini dalam perdagangan global, kami menyemak turun unjuran pertumbuhan eksport kepada 2.2 peratus bagi 2019, daripada 3.5 peratus sebelumnya, dan daripada 6.7 peratus pada 2018," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X