Khamis, 30 Mei 2019 | 6:51pm

Mah Sing sasar tingkat bank tanah di Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd menyasarkan untuk membeli lebih banyak tanah di kawasan utama di Lembah Klang, disokong oleh lembaran imbangan tunai yang sihat dan baki bank sebanyak RM1.3 billon bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019.

Dalam kenyataan hari ini, Pengasas dan Pengarah Urusannya, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata fokus untuk menambah keluasan tanah utama adalah untuk hartanah mampu milik.

“Pemerolehan baharu kami ialah di Happy Garden di sini yang kami namakan ‘M Oscar’. Cadangan unit paling kecil dua bilik seluas 700 kaki persegi berharga dari RM428,000. Pendaftaran untuk membeli bermula pada Jun 2019,” katanya.

Sehingga Mac tahun ini, bank tanah Mah Sing seluas 849.43 hektar (2,099 ekar), yang akan menghasilkan nilai pembangunan kasar (GDV) dan jualan belum dikumpul sebanyak RM25.1 bilion, yang akan menyediakan pendapatan mantap bagi syarikat itu.

Hoy Kum juga yakin projek hartanah syarikat itu akan terus mendapat tarikan memandangkan 81 peratus daripadanya dijual kurang daripada RM700,000, segmen yang dianggap mampu milik.

“Kami percaya persekitaran pasaran yang tidak menentu akan menggalakkan lebih ramai orang dan pelabur kembali kepada hartanah.

“Kami juga sedang berbincang dengan rakan kongsi berpotensi dari China untuk menubuhkan kilang konkrit pratuang (IBS) kekal di Kajang.

“Jika kerjasama ini berjaya, kami akan dapat memasarkan dan memasang komponen IBS di projek sendiri dan pembangunan lain, termasuk rumah mampu milik kerajaan dan projek-projek kerajaan,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X