Selasa, 28 Mei 2019 | 10:51am

Harga minyak kukuh

SINGAPURA: Harga minyak mentah Brent mengukuh di atas AS$70 satu tong hari ini.

Ia berikutan pemotongan bekalan yang diterajui pengeluar kelab Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport minyak Iran dan Venezuela mengatasi kebimbangan berhubung kelembapan ekonomi.

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak, berada pada AS$70.14 pada 0218 GMT, tiga sen di atas penutup sebelumnya, apabila Brent menokok 2.1 peratus.

Niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$59.21 satu tong, naik 58 sen atau satu peratus daripada penutup terakhir pada Jumaat. WTI tidak didagangkan pada Isnin disebabkan cuti umum di AS.

Harga disokong pemotongan bekalan diterajui OPEC sejak awal tahun ini.

OPEC dan beberapa sekutu termasuk Russia dijangka bertemu pada 25 dan 26 Jun untuk membincangkan dasar pengeluaran pada masa depan.

"Isu penawaran kembali menjadi tumpuan, dengan harga minyak mentah naik kukuh," kata bank ANZ.

Selain itu, sekatan AS ke atas eksport petroleum Iran dan Venezuela juga mempengaruhi pasaran.

"Eksport Iran terus di bawah tekanan kerana sekatan AS. Ini berlaku ketika mana OPEC kelihatannya menuju ke arah memperluas perjanjian pemotongan pengeluaran semasa," tambahnya. - Reuters

Berita Harian X