Jumaat, 24 Mei 2019 | 3:13pm

IHP meningkat 0.2 peratus pada April

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 0.2 peratus pada April 2019 kepada 121.1 berbanding 120.9 dalam tempoh sama tahun lalu, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kumpulan utama yang menyumbang kepada kenaikan itu adalah perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.0 peratus), minuman alkohol dan tembakau (+1.2 peratus), pendidikan (+1.2 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+1.1 peratus) dan restoran dan hotel (+0.8 peratus).

“Bagi perbandingan bulanan, IHP kekal tidak berubah berbanding Mac 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata IHP bagi Januari hingga April 2019 mencatatkan penurunan 0.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Dari segi keseluruhan IHP, beliau berkata empat negeri seperti Kuala Lumpur (+0.7 peratus), Pulau Pinang (+0.7 peratus), Negeri Sembilan (+0.5 peratus) dan Selangor dan Putrajaya (+0.4 peratus) melepasi kadar IHP nasional iaitu 0.2 peratus pada April 2019 berbanding tempoh yang sama pada 2018.

Johor dan Perak menunjukkan kadar peningkatan yang sama dengan IHP nasional.

Selain itu, peningkatan dalam indeks makanan dan minuman bukan alkohol dicatatkan di kebanyakan negeri di Malaysia.

“Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 3.6 peratus bagi makanan dan minuman bukan alkohol berbanding bulan yang sama pada 2018 dan melebihi paras indeks nasional pada April 2019,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X