Khamis, 16 Mei 2019 | 3:15pm
KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Eksport M&E cecah RM43 bilion tahun depan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjangkakan nilai eksport industri mekanikal dan peralatan (M&E) negara berkembang kepada RM43 bilion menjelang 2020, berbanding RM40.6 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Dr Ong Kian Ming, berkata nilai eksport bagi industri berkenaan menunjukkan perkembangan positif dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 4.11 peratus sejak tujuh tahun lalu.

Katanya, penyumbang utama nilai eksport adalah mesin dan peralatan khusus dengan destinasi utama termasuk Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.

“Untuk mencapai sasaran eksport ini, kami akan menggalakkan syarikat tempatan melabur dalam industri ini dan menggalakkan syarikat multinasional untuk menubuhkan syarikat di Malaysia memandangkan tidak semua penyedia kelengkapan antarabangsa memiliki operasi di negara kita.

“MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta agensi lain mempunyai peranan penting untuk dilaksanakan bagi memastikan kita mampu mencapai nilai eksport ini,” katanya kepada media selepas melancarkan METALTECH 2019 di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi UBM Trade Link Sdn Bhd, Datuk Dr Tan Chin Huat dan Pengarah Urusan Kumpulan Perniagaan ASEAN UBM, M Gandhi.

Sementara itu, Gandhi berkata, METALTECH 2019 atau pameran mesin, kerja logam, robotik dan automasi dijangka mencatatkan urus niaga lebih RM500 juta sepanjang empat hari penganjurannya.

Katanya, sebanyak 1,500 pempamer tempatan dan asing menyertai acara tahunan bagi mempamerkan jentera serta teknologi terkini yang dibawa syarikat berkaitan.

“Kita menjangkakan 20,000 pengunjung perdagangan akan hadir sepanjang empat hari di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

“Tahun lalu, METALTECH meraih urusniaga berjumlah lebih RM200 juta dengan 14,800 pengunjung perdagangan menyertai pameran ini,” katanya.

Berita Harian X