X
Khamis, 16 Mei 2019 | 2:01pm
MOHD Uzir Mahidin
MOHD Uzir Mahidin

Malaysia catat lebihan akaun semasa RM16.4 bilion

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan lebihan akaun semasa lebih tinggi iaitu RM16.4 bilion pada suku tahun pertama 2019, mengatasi jangkaan umum sekitar RM13 bilion, disokong terutamanya oleh import barangan perantaraan dan modal lebih rendah.

Lebihan itu juga adalah yang terbesar sejak suku pertama 2014 yang mana ketika itu mencecah RM19.8 bilion.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata defisit lebih rendah dalam akaun pendapatan primer dan perkhidmatan juga menyumbang ke arah lebihan akaun semasa pada suku tahun ini.

“Akaun kewangan pada suku semasa mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM13.8 bilion berbanding RM6.1 bilion suku tahun lalu.

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh aliran keluar bersih lebih tinggi dalam pelaburan lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagi tempoh ini, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatatkan nilai RM341.7 bilion pada harga malar dan RM361.9 bilion pada harga semasa.

Beliau berkata, pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia juga melonjak kepada RM21.7 bilion, tertinggi dalam siri suku tahun berbanding RM12.9 bilion pada suku tahun sebelumnya yang mana sebahagian besarnya adalah dari Jepun, Austria dan Hong Kong.

“Sementara itu, pelaburan langsung Malaysia di luar negeri (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih lebih rendah sebanyak RM5.5 bilion berbanding RM10.8 bilion pada suku tahun sebelumnya.

“Destinasi utama DIA ialah Luxembourg, Australia dan Indonesia,” katanya.

Menerusi kenyataan media itu Jabatan Perangkaan Malaysia turut menyatakan kedudukan liabiliti kewangan pada suku tahun ini meningkat kepada RM1,769.5 bilion berbanding RM1,761.9 bilion pada suku tahun sebelumnya, manakala jumlah aset adalah RM1,680.7 bilion.

Ini menyebabkan liabiliti bersih lebih tinggi sebanyak RM88.9 bilion pada akhir suku tahun pertama 2019. Sementara rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM420.2 bilion berbanding RM419.5 bilion pada suku tahun lalu.

Manakala eksport barangan Malaysia pada suku pertama 2019 mencatatkan penurunan sebanyak 0.7 peratus kepada RM236.0 bilion berbanding RM237.6 bilion

yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu, sementara import merekodkan sejumlah RM199.1 bilion, menurun 2.5 peratus.

Mohd Uzir berkata, mengikut kaedah pengeluaran, semua sektor dalam ekonomi mencatatkan pertumbuhan positif kecuali sektor perlombongan dan kuari.

“Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian adalah peneraju ekonomi Malaysia pada suku tahun ini. Manakala perbelanjaan penggunaan akhir swasta terus menjadi pemacu utama mengikut kaedah perbelanjaan,” katanya.

Mengulas mengenai prospek ekonomi pada suku kedua 2019, Mohd Uzir berkata, Indeks Pelopor menjangkakan ekonomi akan bertumbuh pada kadar lebih perlahan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X