Selasa, 14 Mei 2019 | 4:17pm

Ekonomi Malaysia dijangka perlahan pada suku pertama

KUALA LUMPUR: Kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka perlahan pada suku pertama berikutan pengurangan penggunaan dan permintaan global yang perlahan susulan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, demikian mengikut pungutan pendapat oleh Reuters.

Pungutan pendapat daripada 13 ahli ekonomi itu mengunjurkan ekonomi berkembang pada kadar penengah atau median 4.3 peratus pada Januari-Mac, lebih perlahan berbanding 4.7 peratus yang dicatatkan pada suku keempat.

Unjuran individu bermula daripada 4.2 peratus hingga 4.5 peratus.

Eksport ekonomi ketiga terbesar Asia Tenggara itu menguncup pada Februari dan Mac, dan dijangka berdepan tekanan berterusan dalam bulan-bulan akan datang kerana AS meneruskan satu lagi pusingan kenaikan tarif terhadap barangan China, demikian menurut Capital Economics dalam nota penyelidikannya.

“Malaysia adalah antara negara yang paling terdedah terhadap kejatuhan permintaan AS bagi barangan China, sebagai pengeksport barangan perantaraan besar ke China,” kata Capital Economics dalam satu nota pada Jumaat.

Pada Isnin, China mengumumkan ia akan mengenakan tarif yang tinggi terhadap AS$60 bilion barangan AS berikutan keputusan Washington minggu lalu untuk menaikkan levi terhadap AS$200 bilion import China.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi keseluruhan 2018 ialah pada kadar 4.7 peratus, rendah sedikit berbanding unjuran kerajaan sebanyak 4.8 peratus tetapi jauh di bawah kadar 5.9 peratus yang diunjurkan setahun lalu.

Pertumbuhan yang lebih baik daripada dijangkakan pada suku keempat sebanyak 4.7 peratus memecahkan pertumbuhan perlahan empat sukuan berturut-turut, tetapi Bank Negara Malaysia (BNM) sejak itu berkata, ia menjangka pengembangan menjadi sederhana pada tahun ini.

Pada Mac, bank pusat mengurangkan unjuran pertumbuhan 2019 kepada 4.3-4.8 peratus daripada unjuran sebelum ini sebanyak 4.9 peratus, berikutan jangkaan kejatuhan permintaan eksport yang ketara.

Penggunaan swasta akan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pertumbuhan pada suku pertama, tetapi kemungkinan perlahan kerana sentimen pengguna merosot, kata HSBC.

Harga pengguna Malaysia meningkat buat kali pertama tahun ini pada Mac, dengan peningkatan 0.2 peratus dari tahun sebelumnya.

Standard Chartered berkata, unjuran pertumbuhan yang lebih perlahan juga sebahagiannya disebabkan oleh asas yang lebih tinggi pada tahun sebelumnya, terutamanya jika dibandingkan dengan kadar 5.4 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2018.

BNM mengurangkan kadar dasarnya minggu lalu buat kali pertama sejak 2016 untuk menyokong ekonomi berikutan peningkatan kebimbangan terhadap pertumbuhan global, yang mana Standard Chartered berpendapat ia akan menyokong pertumbuhan.

“Kami menjangkakan pertumbuhan Malaysia akan mencecah paras rendahnya pada suku pertama dan melihat ia meningkat ke arah separuh kedua kerana momentum pertumbuhan global stabil,” kata Standard Chartered dalam nota penyelidikannya.

-Reuters

Berita Harian X