Isnin, 6 Mei 2019 | 2:01pm
MOHD Uzir Mahidin ketika membentangkan laporan statistik Bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia 2015 di Dewan Mahkota SME Corp Malaysia, Planetarium Sentral, KL Sentral. - Foto Nik Hariff Hassan
MOHD Uzir Mahidin ketika membentangkan laporan statistik Bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia 2015 di Dewan Mahkota SME Corp Malaysia, Planetarium Sentral, KL Sentral. - Foto Nik Hariff Hassan

Ekonomi Malaysia cecah RM1.45 trilion

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencecah RM1.45 trilion pada harga semasa, selepas pengasasan semula dari tahun asas 2010 kepada tahun asas 2015, manakala Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita mencatatkan RM43,086 pada 2018.

Susulan pengasasan semula, ekonomi Malaysia turut meningkat 4.7 peratus pada 2018 pada harga malar 2015 dengan nilai RM1.36 trilion.

Sebelum pengasasan semula, pertumbuhan ekonomi Malaysia dilaporkan berkadar 4.7 peratus dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM1.23 trilion pada harga malar dan RM1.43 trilion pada harga semasa.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pengasasan semula itu tidak mengubah laporan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2017 dan 2018, namun wujud pindaan terhadap nilaian berkaitan.

“Hanya pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2016 yang berubah susulan pengasasan semula, iaitu daripada 4.4 peratus kepada 4.2 peratus.

“Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2017 dan 2018 kekal, tetapi nilaian berkaitan seperti PNK per kapita merekodkan perubahan," katanya kepada pemberita pada Sesi Interaktif Pengasasan Semula KDNK Malaysia, hari ini.

Mengulas unjuran pertumbuhan suku pertama 2019, Mohd Uzir berkata, ia akan diumumkan secara bersama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 16 Mei ini berteraskan beberapa petunjuk utama ekonomi.

Beliau berkata, semakan terhadap beberapa sektor seperti perdagangan antarabangsa yang merekodkan pola penurunan berbanding tahun lalu sudah dilakukan, manakala perangkaan lain masih dalam penelitian.

“Sektor berkaitan perlombongan, pengilangan, perkhidmatan, ada dikeluarkan laporan Indeks Pengeluaran Industri (IPI) untuk Januari dan Februari, yang sedikit menyederhana berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Demikian juga sektor perdagangan, borong dan runcit yang masih mengekalkan momentum pertumbuhan perlahan sebelum ini. Justeru, kami akan lihat perkembangan aspek lain sebelum umumkan unjuran suku pertama 2019," katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata pengasasan semula KDNK menggunakan harga 2010 kepada harga 2015 tidak mengubah laporan tahunan Indeks Pelopor (IP) yang sebelum ini mencatatkan penyusutan 1.7 peratus pada bulan rujukan.

Katanya, ini kerana laporan IP bagi mengunjurkan senario ekonomi untuk enam bulan ke hadapan tidak menggunakan nilaian asas khusus, sebaliknya ia bersandarkan beberapa komponen berkaitan.

“Antara yang digunakan dalam laporan IP ialah perangkaan mengenai import, eksport dan jumlah pendaftaran syarikat baharu di dalam negara.

“Saya yakin dengan apa yang dibuat hari ini (pengasasan semula KDNK), tidak akan mengubah unjuran terdahulu (bahawa prestasi ekonomi suku pertama 2019 dijangka perlahan)," katanya.

Berita Harian X