Khamis, 2 Mei 2019 | 11:11am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Harga minyak turun susulan pengeluaran tinggi

SINGAPURA: Harga minyak merosot hari ini selepas data menunjukkan pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat (AS) berada pada rekod tertinggi, yang mengakibatkan lonjakan dalam stok simpanan.

Bagaimanapun, di luar AS pasaran minyak kekal tegang apabila semua pengecualian sekatan AS terhadap Iran tamat, krisis politik di Venezuela yang memuncak, dan dengan OPEC terus mengawal bekalan.

Niaga minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak, berada pada AS$72.09 satu tong pada 0032 GMT, turun sembilan sen, atau 0.1 peratus, daripada penutupan sebelumnya.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pula susut dua sen, pada AS$63.58 satu tong, setelah turun 0.5 peratus pada sesi sebelumnya.

"Harga minyak mentah jatuh ketara apabila stok simpanan di AS menokok ke paras tertinggi sejak 2017," kata bank ANZ.

"Ia berlaku ketika mana kilang penapis AS menuju ke musim penyelenggaraan musim bunga, yang menimbulkan kebimbangan bahawa permintaan minyak mentah akan menjadi lembap dan stok akan terus meningkat," katanya.

Stok minyak mentah AS minggu lalu naik paling tinggi sejak September 2017, melonjak 9.9 juta tong kepada 470.6 tong, berikutan pengeluaran mencatat rekod tertinggi sebanyak 12.3 juta tong sehari (bpd), manakala kadar aktiviti penapisan jatuh, demikian menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).

Di luar AS, pasaran minyak tetap ketat di tengah-tengah krisis politik di Venezuela, sekatan AS yang lebih ketat terhadap Iran yang tidak lagi membenarkan pengecualian mulaiMei, dan Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) terus mengawal bekalan untuk menaikkan harga.

Menteri Tenaga Oman Mohammed bin Hamad al-Rumhy Rabu lalu berkata, sasaran OPEC ialah melanjutkan pemotongan pengeluaran yang bermula pada Januari, pada pertemuan Jun depan.

Bagi pengeluar, keadaan pasaran ini membawa maksud keuntungan yang lebih tinggi. - Reuters

Berita Harian X