Rabu, 24 April 2019 | 8:52pm

IHP meningkat 0.2 peratus pada Mac

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) negara pada Mac 2019 meningkat 0.2 peratus kepada 121.1 daripada 120.9 yang dicatatkan pada Mac 2018.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan dalam keseluruhan indeks didorong oleh indeks kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api (+2.0 peratus), pendidikan (+1.3 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+1.1 peratus), minuman alkohol dan tembakau (+1.1 peratus), dan restoran dan hotel (+1.0 peratus).

Bagi perbandingan bulanan, IHP juga meningkat 0.2 peratus berbanding Februari 2019.

Peningkatan itu disokong terutamanya oleh indeks pengangkutan (+2.6 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (+0.4 peratus), dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (+0.3 peratus).

Bagaimanapun, bagi suku pertama 2019, IHP turun 0.3 peratus kepada 120.8 daripada 121.2 pada suku yang sama sebelumnya.

Penurunan itu disumbang oleh kumpulan pengangkutan (-5.9 peratus), pakaian dan kasut (-3.1 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (-2.2 peratus) dan komunikasi (-1.2 peratus).

Bagi perbandingan suku tahunan, IHP turun 0.1 peratus berbanding suku keempat pada 2018.

Mohd Uzir berkata, empat negeri, iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+0.9 peratus), Pulau Pinang (+0.6 peratus), Selangor dan Putrajaya (+0.3 peratus) dan Negeri Sembilan (+0.3 peratus), melepasi paras IHP nasional sebanyak 0.2 peratus pada Mac 2019 berbanding bulan yang sama pada 2018.

Sementara itu, Johor mencatatkan kadar kenaikan yang sama dengan IHP nasional.

Beliau berkata, kenaikan indeks makanan dan minuman bukan alkohol dicatatkan di kebanyakan negeri.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+4.2 peratus) mencatatkan kenaikan tinggi bagi indeks makanan dan minuman bukan alkohol, melebihi paras indeks nasional pada Mac 2019 berbanding bulan yang sama pada 2018.

Sebaliknya, Negeri Sembilan mencatatkan kenaikan pada paras yang sama dengan IHP nasional bagi makanan dan minuman bukan alkohol.

Keseluruhannya, indeks teras meningkat 0.5 peratus pada Mac 2019 berbanding bulan yang sama pada 2018.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.3 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+1.7 peratus), pendidikan (+1.3 peratus), dan restoran dan hotel (+1.0 peratus).

“Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal,” kata Mohd Uzir. - BERNAMA

Berita Harian X