Rabu, 24 April 2019 | 2:46pm

Kerajaan terus bangkit isu sawit pada mesyuarat WTO

PUTRAJAYA: Kerajaan sekali lagi membangkitkan kebimbangan berhubung sekatan minyak sawit bagi bahan api bio (biofuel) pada Mesyuarat Lembaga Dagangan Barang (CTG) di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang berlangsung 12 April lalu.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, terdapat beberapa isu penting lain yang diketengahkan semasa mesyuarat berkenaan susulan pelaksanaan ‘Delegated Act’ oleh Kesatuan Eropah (EU) semasa mesyuarat berkenaan.

Katanya, ia termasuk isu peraturan berkenaan mempunyai kesan negatif yang ketara terhadap perkembangan industri minyak sawit di peringkat global.

“Selain itu, peraturan yang dilaksanakan EU itu juga bersamaan dengan sekatan terhadap biofuel dan cecair biologi (bioliquids) yang dihasilkan daripada minyak sawit dan ia melanggar prinsip WTO yang membanteras sebarang bentuk diskriminasi.

“Seterusnya, kaedah yang digunakan bagi pengiraan bahagian pengembangan tanah dalam peraturan berkenaan juga tidak diiktiraf oleh standard nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Malaysia telah membangkitkan kebimbangannya menerusi platform WTO sejak 2018.

Selain itu, MITI turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Industri Utama dengan membuat bantahan dan menyuarakan pendapat mewakili negara pada beberapa Mesyuarat Jawatankuasa dan Lembaga WTO sejak Mac 2018 hingga terbaharu, pada Mac lalu.

Inisiatif negara juga mendapat sokongan daripada negara pengeluar minyak sawit yang lain seperti Indonesia, Colombia, Guatemala, Thailand dan Costa Rica.

Semua negara berkenaan turut sama menyuarakan kebimbangan mereka ke atas diskriminasi minyak sawit ini.

Mengulas lanjut, MITI berkata kerajaan akan terus membabitkan diri secara aktif dan konsisten dengan negara pengeluar minyak sawit yang lain dalam mewujudkan usaha yang lebih padu bagi membangkitkan bantahan negara kepada pelbagai jawatankuasa di bawah WTO.

“Tekanan pelbagai hala ke atas EU akan dikuatkan lagi kerana banyak pihak melihat perkembangan baharu ini adalah satu pelanggaran kepada peraturan WTO,” katanya.

Berita Harian X