Selasa, 23 April 2019 | 3:43pm
Kementerian Industri Utama merancang meneroka potensi besar pasaran buluh dunia yang kini mencecah AS$68.8 bilion. - Foto hiasan
Kementerian Industri Utama merancang meneroka potensi besar pasaran buluh dunia yang kini mencecah AS$68.8 bilion. - Foto hiasan

Malaysia serius teroka potensi buluh untuk eksport

KUALA LUMPUR: Kementerian Industri Utama merancang meneroka potensi besar pasaran buluh dunia yang kini mencecah AS$68.8 bilion dengan merangka strategi membangunkan industri huluan dan hiliran tanaman buluh di Malaysia.

Menterinya, Teresa Kok, berkata berdasarkan potensi pasaran dunia itu, buluh terbukti satu industri besar di peringkat antarabangsa dengan permintaan tinggi dari Amerika Syarikat (AS) dan Jepun untuk pelbagai produk termasuk papan lantai buluh.

Namun, katanya industri yang kini dikuasai oleh China, Thailand dan India itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya Malaysia berdasarkan eksport buluh negara yang terlalu kecil dan jauh ketinggalan iaitu hanya kira-kira RM102,800 pada tahun lalu.

“Malaysia sudah ada Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2011-2020, namun kelihatannya eksport masih tidak meningkat sedangkan kami menerima banyak minat dari dalam negara dan industri ini ada potensi besar untuk eksport.

“Apabila isu tanaman buluh disensasikan, saya terima banyak maklum balas ada yang setuju dan tidak, sebenarnya penanaman buluh miliki kelebihan seperti tempoh tuaian singkat tiga tahun dan beban kos mengusahakan tanaman buluh rendah kerana tunasnya sentiasa tumbuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Dr Tan Yew Chong.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan potensi itu, kementerian akan mengadakan kajian lebih serius dan perbincangan mendalam bagi mengenal pasti langkah serta strategi membangunkan industri huluan hiliran buluh.

Katanya, ia termasuk meneliti sebab Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2011-2020 tidak berjaya dan membuat analisa bagaimana Malaysia boleh bangunkan industri itu menerusi kerjasama swasta.

“Bahkan, maklum balas daripada orang asli di Cameron Highland turut menyatakan hasrat supaya kerajaan merintis kerjasama dengan pihak swasta membina kilang pemprosesan buluh di sana kerana kawasan terbabit banyak sumber alam daripada buluh.

“Ini adalah permintaan orang asli sendiri dan boleh dibincangkan dengan lebih lanjut,” katanya.

Berita Harian X