Khamis, 18 April 2019 | 2:26pm
AZIZ Abdullah bersama Azman Ismail (kiri) merasmikan Program Insentif Rakan Niaga di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOU) dan Memperkenalkan Jenama Baharu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam. - Foto Roslin Mat Tahir

R&R Seremban dinobat R&R PLUS terbaik

SHAH ALAM: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) buat julung kalinya menganjurkan Persidangan Rakan Niaga PLUS yang mengumpulkan lebih 450 rakan niaganya dari seluruh negara di bawah satu bumbung bertujuan berkongsi pengalaman dan meningkat mutu perkhidmatan masing-masing.

Pada persidangan sama PLUS turut memperkenalkan Program Insentif Rakan Niaga (BPIP) bagi mengiktiraf dan menghargai rakan niaganya.

Pada program BPIP sulung itu, R&R Seremban (Arah Utara) dinobatkan sebagai R&R PLUS terbaik, manakala lebih 100 dipilih sebagai rakan niaga terbaik.

"Program BPIP adalah yang pertama seumpamanya dan diperkenalkan bagi memberi pengiktirafan kepada semua rakan niaga PLUS yang selama ini berusaha gigih dan cemerlang untuk memberikan perkhidmatan istimewa kepada pelanggan PLUS di R&R," kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran persidangan itu di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi PLUS, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Aziz Abdullah.

Pemenang kategori R&R Terbaik menerima wang tunai RM10,000.

Pada majlis itu juga, PLUS turut memeterai perjanjian penerimaan lima jenama sebagai rakan niaga baharu PLUS.

Jenama terbabit ialah Sushi King, My Laksa, Daily Fresh, Bon 900 Café dan Family Mart, sekali gus menjadikan 25 jenama produk beroperasi di R&R dan hentian sebelah PLUS.

Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 700 gerai makanan dan minuman di semua 24 R&R, 46 hentian sebelah R&R dan empat restoran jejantas PLUS.

Diminta pandangan PLUS berhubung cadangan pengambilalihan saham PLUS oleh kerajaan, Azman memberi jawapan selamat.

"Saya kira adalah penting anda mendapatkan perspektif daripada pemegang saham (PLUS)," katanya ringkas.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X