Selasa, 16 April 2019 | 4:01pm
PENGARAH Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid. - NSTP/Faiz Anuar
PENGARAH Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid. - NSTP/Faiz Anuar

MIER unjur pertumbuhan sederhana ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2019 mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 4.5 peratus berbanding 4.7 peratus tahun lalu.

Pengarah Eksekutifnya, Prof Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata ini disebabkan kelembapan dunia selain permintaan domestik.

Beliau berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi dunia tumbuh 3.3 peratus pada 2019 berbanding 3.6 peratus tahun lalu.

“Terdapat risiko-risiko yang semakin meningkat dengan pertumbuhan global mula condong ke arah sisi negatif, kebanyakannya disebabkan oleh faktor-faktor yang berkaitan dengan dasar perdagangan yang tidak menentu serta sentimen pasaran kewangan yang semakin lemah," katanya kepada pemberita selepas taklimat korporat ekonomi MIER ke-24 di sini, hari ini.

Ketegangan perdagangan yang semakin serius, bersama-sama dengan kebimbangan lain seperti pertumbuhan yang lebih perlahan daripada jangkaan dalam ekonomi sedang pesat membangun, telah menyebabkan ketidakstabilan dalam pasaran kewangan.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi China yang lemah berikutan krisis perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), memberi kesan sampingan ke atas kebanyakan negara termasuk Malaysia.

Zakariah berkata, eksport bersih negara dijangka akan menguncup kepada 3.4 peratus daripada penguncupan sebanyak 1.4 peratus pada 2018, dan dengan berlatar belakangkan pertumbuhan global yang lebih perlahan, ekonomi Malaysia perlu banyak bergantung kepada permintaan dalam negeri untuk memacu pertumbuhan.

Bagaimanapun, permintaan domestik dijangka meningkat dengan lebih perlahan, berpunca daripada kelembapan permintaan dalam penggunaan dan pelaburan.

"Kelembapan dalam pelaburan swasta adalah disebabkan oleh kesederhanaan dalam aliran pelaburan global termasuk penurunan permintaan bagi barang-barang perkilangan," katanya.

Kerajaan dijangka akan meningkatkan rangsangan fiskal sebagai pemangkin pertumbuhan, kerana ia akan memperhebatkan modal pembalikan disebabkan oleh normalisasi dasar monetari di kalangan negara ekonomi maju dan pengimbangan aliran keluar modal.

Pengaliran keluar modal akan mengenakan tekanan kepada nilai ringgit yang seterusnya, akan menjejaskan pengeluaran domestik dan penggunaan.

"Pada tahun lalu, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) menyusut disebabkan tekanan ke atas ringgit.

Bagaimanapun, rizab berkenaan telah mula meningkat pada tahun ini, selepas susut selama empat suku tahun berturut-turut, ini mencerminkan pengukuhan ringgit," katanya.

Zakariah ketika mengulas mengenai prospek komoditi, menjelaskan unjuran global agak bercampur-campur bagi tahun ini.

Permintaan terhadap komoditi pertanian, terutama minyak sawit mentah (MSM), dijangka menokok berikutan peningkatan jumlah dan ditambah pula, harga yang lebih baik.

"Harga MSM dijangka akan mencecah RM2,700 satu tan pada tahun ini, berbanding dengan purata sebanyak RM2,232 satu tan pada tahun lalu," katanya sambil menambah bahawa kenaikan ini dibantu oleh peningkatan permintaan bagi biodiesel dan ringgit yang lebih lemah.

Sementara itu, Zakariah berkata, permintaan terhadap produk-produk petroleum adalah suram di tengah-tengah pertumbuhan global yang lebih perlahan.

Kenaikan harga minyak mentah selepas mencatatkan kejatuhan pada penghujung tahun lalu adalah disebabkan oleh gangguan bekalan, katanya.

"Harga dijangka akan mencecah pertengahan AS$70 setong pada separuh pertama tahun ini tetapi ia akan bersifat sementara sebelum jatuh kembali kepada AS$60 setong pada separuh kedua 2019," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X