Jumaat, 12 April 2019 | 12:09pm
Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Radzali Hassan.

FIM 2019 catat urus niaga RM452 juta

KUALA LUMPUR: Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2019 (FIM2019) yang berakhir 7 April lalu mencatatkan transaksi urus niaga francais berjumlah RM452 juta, meningkat sembilan peratus berbanding RM410 juta pada 2018.

Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Radzali Hassan, berkata pencapaian itu adalah hasil penawaran pakej pempamer perniagaan francais daripada 74 syarikat francais tempatan dan antarabangsa.

“FIM siri kali ini membabitkan penyertaan syarikat francais antarabangsa yang terdiri daripada 14 negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Australia, Belanda, Turki, Indonesia, Korea Selatan, China, Taiwan, Hong Kong, Jepun, Itali, Filipina, Singapura dan Thailand.

“Selain itu, program ini dihadiri lebih 11,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

FIM2019 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Aziza Wan Ismail.

Selain daripada aktiviti utama pameran dan persidangan antarabangsa, turut diadakan adalah Sesi Pemadanan Perniagaan antara francaisor dan bakal usahawan francais serta misi belian francais (FIBM) dan aktiviti lain untuk menarik minat pengunjung.

Ini adalah antara aktiviti yang diadakan bagi membantu peserta pameran serta pengunjung untuk mendapatkan lebih banyak pendedahan dan pengetahuan sepanjang program berlangsung.

Radzali berkata, FIM kali ini turut menyaksikan Sesi Pertukaran Perjanjian Francais antara Mediconstant Holding Sdn Bhd, City Coin Laundry Sdn Bhd dan Revenue Valley Sdn Bhd dengan francaisi induk mereka dari Thailand, Cambodia, Myanmar, Vietnam, Turkey, Brunei, Maldives dan Jordan.

“FIM2019 telah merekodkan sebanyak lebih 150 sesi pemadanan perniagaan antara francaisor dan bakal-bakal francaisi. Manakala FIBM membabitkan 18 wakil pelabur antarabangsa dari 13 negara seperti United Kingdom, Hungary, Poland, Sweden, Belanda, Kazakhstan, Thailand, Myanmar, Oman, Indonesia, India, Russia serta Vietnam turut menyumbang kepada nilai transaksi pelaburan FIM2019,” katanya.

Program anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan MFA adalah satu acara tahunan dan tahun ini adalah yang ke-26 penganjurannya.

Berita Harian X