Rabu, 10 April 2019 | 3:04pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Perasmian Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-15 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Perasmian Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-15 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Peserta kewangan Islam perlu tingkat pelaburan teknologi: PM

KUALA LUMPUR: Peserta kewangan dan perbankan Islam di Malaysia perlu mempertingkatkan pelaburan dalam teknologi bagi mentransformasikan cara perkhidmatan perbankan dikendalikan dan produk diagihkan secara berkesan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata industri sudah mencapai ke paras yang mana pelanggan kini boleh melakukan transaksi kewangan dan bukan kewangan secara dalam talian dari mana-mana saja lokasi, dengan bantuan internet dan perbankan mudah alih.

Beliau berkata, pengguna digital lebih gemar menyelidik sendiri sebelum membuat keputusan terhadap produk atau perkhidmatan terbaik yang ditawarkan bank.

"Mereka boleh berinteraksi secara dalam talian atau berjumpa pengurus menerusi teknologi komunikasi bersepadu" katanya pada pembukaan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF 2019) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KLIFF 2019 dan Pengerusi Kumpulan Amanie Advisors, Datuk Dr Mohd Daud bakar dan Pengarah Urusan/ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Bhd dan Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Adissadikin Ali.

Perdana Menteri juga percaya penyerapan kelestarian dan teknologi pintar dalam sektor kewangan boleh mentransformasikan komuniti dunia ke peringkat selanjutnya.

Beliau berkata, melaksanakan perbankan dengan “hati” dan teknologi pintar akan menjadi pencapaian baharu bagi sebarang kejayaan tawaran kewangan masa depan.

"Saya berhasrat untuk melihat lebih banyak kerjasama rapat antara kemanusiaan dan kewangan.

"Ini adalah agenda malar segar yang akan memanfaatkan keseluruhan ekosistem," katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, teknologi terkini yang memanfaatkan internet, peranti mudah alih, integrasi media sosial, analisis data besar dan kecerdasan buatan (AI) menjadikan transaksi lebih automatik, mesra pengguna dan mudah digunakan, sekali gus menjadikan pengalaman pengguna yang hebat.

Beliau berkata, pendanaan orang ramai dan pembiayaan rakan setara (P2P) adalah pilihan daripada teknologi kewangan yang memberi manfaat kepada individu atau syarikat kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan pembiayaan tetapi tidak layak mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan Islam tradisional.

Menyentuh mengenai pencapaian negara dalam industri kewangan Islam, Dr Mahathir berkata, Malaysia kekal sebagai peneraju kewangan Islam global dan mempunyai peserta industri yang pelbagai.

Beliau berkata, Malaysia terus menjadi peneraju utama bagi pasaran sukuk dan mewakili 51 peratus jumlah sukuk global berjumlah AS$396 bilion tahun lalu.

"Kita juga terus meneraju dalam industri pengurusan kekayaan dengan 36.5 peratus pasaran global setakat akhir 2017," katanya.

Pada pembukaan forum itu, Perdana Menteri juga melancarkan buku bertajuk “Islamic Economic Principles & Analysis”.

Berita Harian X