Isnin, 8 April 2019 | 10:13am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Minyak cecah tertinggi November 2018

SINGAPURA: Harga minyak menokok ke paras tertinggi lima bulan hari ini, didorong pemotongan bekalan berterusan oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC, sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran dan Venezuela serta data pekerjaan AS yang sihat.

Niaga hadapan penanda aras antarabangsa Brent berada pada AS$70.69 satu tong pada 0047 GMT, naik 35 sen, atau 0.5 peratus daripada penutupan sebelumnya.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) naik 35 sen, atau 0.6 peratus, pada AS$63.43 satu tong.

Brent dan WTI masing-masing mencecah paras tertinggi sejak November tahun lalu masing-masing pada harga AS$70.76 dan AS$63.48 setong, pada awal Isnin.

"Harga Brent meningkat lebih daripada 30 peratus terkini tahun ini berikutan OPEC+ terus memotong bekalan selama empat bulan berturut-turut dan keyakinan terhadap rundingan perdagangan AS-China membantu melonjakkan tinjauan permintaan," kata bank JPMorgan dalam satu nota yang dikeluarkan pada hujung minggu.

Peniaga berkata, data pekerjaan AS yang kukuh juga membantu menaikkan pasaran Asia pada awal dagangan Isnin.

Harga minyak juga dipacu sekatan AS terhadap Iran dan Venezuela, yang adalah anggota OPEC.

Di AS, pengeluaran minyak mentah mencecah rekod 12.2 juta tong sehari penghujung Mac.

Eksport minyak mentah AS juga meningkat, melepasi tiga juta tong sehari untuk kali pertama pada awal tahun ini. - Reuters

Berita Harian X