Jumaat, 5 April 2019 | 2:31pm
Bank Negara Malaysia (BNM)

BNM, institusi kewangan komited bantu PKS

KUALA TERENGGANU: Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus meningkatkan kerjasama yang erat dengan industri kewangan untuk memastikan usahawan yang memerlukan dan layak kepada pembiayaan mendapat kemudahan berkenaan.

Penolong Gabenornya, Adnan Zaylani Mohamad Zahid, berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah antara segmen pelanggan yang penting kepada institusi kewangan, merangkumi 87 peratus daripada jumlah akaun pembiayaan perniagaan.

"Sepanjang 2018, lebih 123,000 permohonan pembiayaan PKS telah diluluskan, dengan secara purata tiga daripada empat permohonan pembiayaan diluluskan.

"Pembiayaan berjumlah RM307 bilion telah dikeluarkan kepada PKS sepanjang tahun lalu," katanya kepada pemberita di Karnival Kewangan Terengganu di sini, hari ini.

PKS juga antara enjin pertumbuhan ekonomi utama Malaysia, dengan kira-kira sejuta pertubuhan perniagaan yang menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 66 peratus guna tenaga.

Antara inisiatif pembiayaan yang dilaksanakan oleh BNM dan institusi kewangan untuk manfaat PKS, termasuklah Tabung BNM untuk PKS, khusus untuk perniagaan yang kekurangan cagaran dan syarikat permulaan.

Dengan jumlah peruntukan sedia ada sebanyak RM3.3 bilion, PKS daripada semua sektor ekonomi, termasuk sektor pertanian dan perusahaan mikro boleh memohon pembiayaan di mana-mana cawangan bank.

Sejak tabung ini ditubuhkan pada 1980, sebanyak 80,000 PKS telah dibantu di bawah tabung ini, dengan jumlah pembiayaan yang diluluskan sebanyak RM31 bilion.

Adnan Zaylani turut menekankan kepentingan PKS untuk sentiasa meningkatkan tahap celik kewangan dan ilmu pengurusan kewangan supaya pemilik perniagaan dapat membuat keputusan kewangan dengan bijak dan bertanggungjawab melalui program jangkauan dan seminar pengurusan kewangan.

Sementara itu, katanya BNM kekal komited dalam meningkatkan akses kepada pembiayaan untuk PKS dan akan terus mendekati PKS untuk memahami isu dan cabaran yang dihadapi.

"PKS perlu mempunyai ilmu asas panduan kewangan terutamanya untuk menguruskan rekod perniagaan dengan baik.

"Kami turut menyarankan usahawan mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk memudahkan peluang akses kepada pelbagai dana," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X