Khamis, 4 April 2019 | 5:02pm
MOHD Sheriff (dua dari kanan) pada Forum CEO 2019 yang dianjurkan oleh Yayasan Kepimpinan Perdana di Kuala Lumpur. - Salhani Ibrahim

'Khazanah bukan institusi Bumiputera'

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd bukan institusi Bumiputera tetapi ia adalah institusi nasional, kata bekas Pengarah Urusannya, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.

Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan mengenai peranan Khazanah dari kaca mata sebagai bekas Pengarah Urusan pertama sayap pelaburan kerajaan Malaysia itu.

Mohd Sheriff berkata, sebagai institusi nasional, Khazanah memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pembangunan ekonomi negara ini.

"Khazanah berperanan sebagai dana pelaburan nasional. Selain berperanan dalam pelaburan strategik, ia juga berperanan sebagai pemangkin," katanya pada Forum CEO 2019 yang dianjurkan oleh Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan pula menjelaskan hanya Khazanah dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) adalah benar-benar syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kerana kedua-dua institusi itu menguruskan dana kerajaan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula, katanya tidak sepatutnya dikategorikan sebagai GLIC kerana dana yang diuruskan dana persaraan itu adalah dana yang dicarum ahlinya.

Beliau juga menegaskan bukan semua syarikat pelaburan Khazanah atau KWAP boleh dikategorikan sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ia berikutan, sesetengahnya adalah untuk tujuan pelaburan semata-mata bagi mendapatkan pulangan dan bukan mempunyai peranan strategik atau membabitkan dasar kerajaan tertentu.

"Kami tidak menkategorikan syarikat pegangan kami seperti IHH, CIMB dan Axiata sebagai GLC kerana ia terbabit dalam industri yang dipacu pasaran dan terbuka kepada persaingan.

"Sementara itu, kami melihat peranan GLC dalam Khazanah secara asasnya adalah dalam industri dikawal selia seperti Telekom Malaysia Bhd (TM), Tenaga Nasional Bhd (TNB), PLUS dan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) yang menggunakan pertumbuhan kawal selia dan pemilikan bagi memacu pendapatan seimbang untuk negara serta menjana pulangan ke atas aset," katanya.

Shahril Ridza juga menyifatkan pandangan mengatakan ekonomi Malaysia dikuasai oleh GLC atau kerajaan adalah kurang tepat memandangkan ia tidak harus didefinasikan oleh pemilikan, sebaliknya melalui peranan entiti.

Sementara itu, mengenai perkembangan Malaysia Airlines Bhd, Shahril Ridza berkata Khazanah belum lagi menerima pelan strategik daripada syarikat penerbangan nasional itu untuk bersaing dalam industri penerbangan dan mencatatkan pulangan yang baik.

Beliau bagaimanapun berkata, Khazanah berharap dapat membentangkan pelan berkenaan kepada kerajaan sebelum akhir tahun ini.

Berita Harian X