Isnin, 1 April 2019 | 6:46pm
CHATIME Malaysia Sdn Bhd (Chatime). - Foto Channel NewsAsia

Chatime buka cawangan baharu dalam pawagam TGV

KUALA LUMPUR: Chatime Malaysia Sdn Bhd (Chatime) membuka cawangan terbaharunya dalam pawagam TGV Cinemas di pusat beli-belah yang baru dibuka, Central i-City, Shah Alam, Selangor.

Ia sekali gus menjadikan Chatime sebagai jenama teh bubble pertama yang membuka cawangan dalam pawagam, dengan sasaran untuk membuka lebih banyak cawangan lagi dalam pawagam dalam masa terdekat.

Pengarah Urusan Kumpulan Chatime, Aliza Ali, berkata cawangan pertama Chatime dalam rangkaian pawagam popular, TGV Cinemas itu adalah bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan yang ingin menonton wayang sambil menikmati makanan dan minuman kegemaran mereka.

“Jika sebelum ini, mungkin ada antara peminat teh bubble di luar sana yang pernah membawa masuk minuman kegemaran mereka itu secara curi-curi ke dalam panggung wayang untuk dinikmati ketika sesi menonton.

“Bagaimanapun, kini mereka tidak perlu lagi melakukan demikian kerana mereka boleh membawa masuk minuman Chatime secara terang-terangan tanpa perlu “menyeludup” di dalam beg masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Chatime, Widayu Latiff, berkata kerjasama dengan TGV Cinemas itu membuktikan komitmennya dalam menjadikan Chatime sebagai jenama minuman gaya hidup masa kini.

“Sebagai jenama minuman gaya hidup, kami komited dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai jenama daripada pelbagai segmen termasuklah hiburan, program kesetiaan syarikat penerbangan, telekomunikasi, perbankan, institusi pengajian tinggi dan banyak lagi,” katanya.

Mula dibuka kepada orang ramai pada 23 Mac lalu, Chatime TGV Cinemas terletak di pintu masuk TGV Cinemas di tingkat empat pusat beli-belah terbaharu, Central i-City.

Selain cawangan itu, satu lagi cawangan Chatime turut dibuka di pusat beli-belah yang sama iaitu di tingkat LG.

Berita Harian X