Selasa, 26 March 2019 | 1:38pm
Perdana Menteri China, Li Keqiang. - Foto EPA
Perdana Menteri China, Li Keqiang. - Foto EPA

China buka lebih banyak peluang pelaburan asing

BEIJING: Perdana Menteri China, Li Keqiang mengesahkan janji Beijing untuk terus membuka pelaburan asing ketika bertemu dengan eksekutif perniagaan global, dan memberi jaminan bahawa hak firma asing akan dilindungi.

China komited menyediakan pelabur dan syarikat asing dengan persekitaran perniagaan yang lebih terbuka dan telus, bersama-sama jaminan perlindungan hak harta intelek dan tiada memaksa pemindahan teknologi, kata Li kepada para eksekutif di luar Forum Pembangunan China.

Pegawai eksekutif dari Daimler, IBM, BMW, Pfizer, Rio Tinto bertemu Li pada penutupan forum selama tiga hari itu, demikian menurut kenyataan di laman web kerajaan.

Perdana menteri itu juga menjawab soalan berhubung perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, tetapi kenyataan beliau tidak terperinci.

Pasukan perdagangan AS berkata mereka berada di peringkat akhir rundingan, yang bakal menjadi perjanjian dasar ekonomi terbesar dengan China dalam beberapa dekad.

Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin, terbang ke Beijing minggu ini bagi mempercepat rundingan dengan Naib Perdana Menteri Liu He, sementara Liu bersedia untuk pergi ke Washington bagi mengadakan rundingan lain pada awal April.

AS mendakwa China terbabit dalam pencurian harta intelektual yang sistematik, memaksa firma asing menyerahkan rahsia perdagangan bagi akses pasaran, dan membelanjakan sejumlah besar memberi subsidi kepada industrinya.

Menteri industri China semalam berkata, kerajaan akan mengurangkan campur tangan langsung dalam sektor perindustrian, berusaha untuk meredakan kebimbangan berhubung dasar perindustriannya.

Tetapi China tidak menyerah berhubung rancangan jangka panjang untuk membina kecekapan pembuatan yang lebih tinggi.

"China menggalakkan pembangunan teknologi dan industri baharu untuk mewujudkan ruang bagi inovasi dan pembangunan," Li memberitahu para eksekutif global.

China tidak akan membenarkan inovasi "dibunuh" sejurus ia muncul, kata Li.

Perdana menteri itu juga memberi jaminan kepada para eksekutif bahawa China akan dapat menahan tekanan terhadap ekonomi.

China akan mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam lingkungan yang munasabah, katanya.

Kerajaan China mensasarkan pertumbuhan ekonomi 6-6.5 peratus tahun ini. - Reuters

Berita Harian X