Isnin, 25 March 2019 | 1:10pm

Pakar ekonomi AS kurang yakin pertumbuhan ekonomi

WASHINGTON: Pakar ekonomi Amerika Syarikat (AS) kurang yakin berhubung tinjauan ekonomi dan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi tahun ini, di tengah-tengah pertumbuhan global yang perlahan dan pergeseran perdagangan yang berterusan, demikian menurut satu tinjauan.

Dan sementara kebarangkalian kemelesetan pada 2020 kekal rendah, ia semakin meningkat, demikian menurut Persatuan Ekonomi Perniagaan Kebangsaan (NABE) dalam laporan suku tahunan mereka.

Panel 55 pakar ekonomi itu percaya "ekonomi AS telah mencapai titik infleksi," kata Presiden NABE, Kevin Swift.

Ramalan dipersetujui bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar dikurangkan tiga persepuluh daripada tinjauan Disember, kepada 2.4 peratus selepas pengembangan 2.9 peratus pada 2018.

Ekonomi dijangka makin perlahan pada 2020, dengan pertumbuhan hanya dua peratus, kata laporan itu.

Tiga perempat daripada responden mengurangkan unjuran KDNK dan percaya risiko kepada ekonomi memberi kesan kepada penurunan.

"Majoriti ahli panel melihat halangan tekanan luaran daripada dasar perdagangan dan pertumbuhan global yang perlahan sebagai risiko utama ke arah pertumbuhan," kata Pengerusi bagi kaji selidik NABE, Gregory Daco, dalam satu kenyataan.

"Bagaimanapun, risiko kemelesetan masih dianggap rendah dalam tempoh terdekat."

Ahli panel meletakkan kebarangkalian kemelesetan bermula pada 2019 pada sekitar 20 peratus, dan bagi 2020 pada 35 peratus, sedikit lebih tinggi daripada Disember.

Daco berkata, ia "mencerminkan dasar pusingan U Rizab Persekutuan pada Januari" apabila bank pusat itu berkata ia akan mengekalkan kadar faedah pada masa depan, satu mesej yang diperkuat minggu ini.

Selepas empat kenaikan kadar faedah tahun lalu, Daco berkata "kebanyakan ahli panel menjangkakan hanya satu kenaikan kadar faedah dalam kitaran ini berbanding tiga kenaikan yang diramalkan dalam kaji selidik Disember."

Ahli panel melihat pertumbuhan upah sebagai risiko terbesar kepada ekonomi, walaupun dijangka meningkat hanya tiga peratus tahun ini, kerana inflasi terus berada sekitar sasaran Rizab Persekutuan pada dua peratus.

Sementara itu, di tengah-tengah dasar tarif agresif Presiden Donald Trump, ahli panel mengunjurkan defisit perdagangan akan meningkat kepada rekod AS$978 bilion tahun ini, mengatasi rekod tahun lalu pada AS$914 bilion. - AFP

Berita Harian X