Isnin, 25 March 2019 | 9:53am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Harga minyak turun

SINGAPURA: Harga minyak turun hari ini berikutan kebimbangan kelembapan ketara ekonomi mengatasi masalah gangguan bekalan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$66.52 satu tong pada 0102 GMT, turun 51 sen, atau 0.8 peratus, daripada penutupan sebelumnya.

Niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$58.42 satu tong, turun 63 sen, atau 1.1 peratus, daripada penyelesaian terakhir.

Kedua-dua penanda aras harga minyak mentah itu merosot lebih daripada tiga peratus sejak mencecah paras tertinggi November 2018 pada minggu lalu.

Kebimbangan berhubung potensi kemelesetan ekonomi di AS muncul semula lewat minggu lalu selepas kenyataan bearis oleh Rizab Persekutuan menyebabkan pulangan perbendaharaan 10 tahun jatuh ke tahap paling rendah sejak awal 2018.

Sebagai tindak balas, pulangan bon perbendaharaan 10 tahun AS jatuh di bawah kadar tiga bulan buat kali pertama sejak 2007.

Berdasarkan sejarah, apabila kadar jangka panjang jatuh di bawah kadar jangka pendek, ia menandakan akan muncul kemelesetan ekonomi.

Menambah kebimbangan berhubung kelembapan global, data pengeluaran pembuatan dari Jerman, ekonomi terbesar Eropah, merosot untuk bulan ketiga berturut-turut.

"Anggaran pertumbuhan dan pendapatan disemak semula secara merentas semua kawasan utama," kata bank Morgan Stanley.

Bank ANZ berkata, prospek ekonomi yang malap "membayangi isu-isu bekalan" yang dihadapi pasaran minyak di tengah-tengah pemotongan bekalan diterajui pengeluar kelab OPEC serta sekatan AS ke atas Venezuela dan Iran.

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu seperti RusSia, yang dikenali sebagai 'OPEC +', bertekad untuk mengurangkan 1.2 juta tong sehari bekalan minyak tahun ini bagi melonjakkan pasaran, dengan sasaran melonjakkan harga minyak mentah kepada lebih AS$70 satu tong. - Reuters

Berita Harian X