Khamis, 21 March 2019 | 1:25pm
TERESA Kok
TERESA Kok

Program B10 beri impak positif

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program B10, iaitu adunan 10 peratus biodiesel sawit dan 90 peratus diesel petroleum bagi sektor pengangkutan memberikan impak positif terhadap peningkatan harga minyak sawit, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata harga purata bulanan minyak sawit pada Januari dan Februari tahun ini masing-masing meningkat kepada RM2,037 satu tan dan RM2,122.60 satu tan berbanding RM1,794.50 satu tan pada Disember 2018.

Beliau menjawab pertanyaan Yusuf Abd Wahab (BN-Tanjong Manis) berhubung langkah Kementerian Industri Utama untuk membantu pekebun kecil yang terkesan akibat penurunan harga jualan hasil tanaman seperti kelapa sawit dan getah.

“Kerajaan juga memeterai dokumen hasrat pembelian dengan syarikat China bagi mengeksport 1.62 juta tan minyak sawit bernilai RM3.64 bilion kepada republik itu, membabitkan empat syarikat Malaysia dan tiga syarikat China.

“Persetujuan ini adalah susulan lawatan kementerian ke China untuk meningkatkan pembelian minyak sawit Malaysia pada Ogos tahun lalu,” kata Kok.

Selain itu, kementerian itu juga akan mengukuhkan pasaran minyak sawit di India, yang adalah pembeli terbesar komoditi itu dan negara berpotensi seperti Iran, Mesir dan negara Afrika melalui misi pelaburan. - BERNAMA

Berita Harian X