Khamis, 21 March 2019 | 1:15pm
Yeo Bee Yin hadir pada Persidangan Hijau 2019 anjuran Malaysian Industrial Finance Bhd (MIDF) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Yeo Bee Yin hadir pada Persidangan Hijau 2019 anjuran Malaysian Industrial Finance Bhd (MIDF) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Tender RE, cekap tenaga RM3.2 bilion tahun ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengeluarkan tender bernilai RM3.2 bilion membabitkan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) dan cekap tenaga tahun ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin, berkata daripada jumlah itu, RM2 bilion membabitkan tender pelaksanaan projek pembangunan Loji Jana Kuasa Solar Berskala Besar pusingan ketiga (LSS3) yang sudah dibuka bermula 27 Februari hingga Ogos ini.

Selain itu, MESTECC juga katanya bercadang membuka tender cekap tenaga bernilai RM200 juta tahun ini membabitkan membabitkan pengubahsuaian 50 bangunan kerajaan dengan melengkapkan bangunan itu dengan instrumen cekap tenaga.

Bee Yin berkata, RM1 bilion pula adalah peluang pasaran bagi tenaga boleh diperbaharui menerusi Skim Meter Tenaga Bersih (NEM).

"Jika melihat kepada RE dan cekap tenaga, kira-kira RM3.2 bilion tender (dijangka) dikeluarkan tahun ini," katanya pada sidang media sempena Persidangan Hijau 2019 anjuran Malaysian Industrial Finance Bhd (MIDF) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Mokhzani.

Sementara itu, Bee Yin berkata, pasukan tindakan khas pembiayaan hijau ditubuhkan untuk menggalakkan pembiayaan hijau swasta di negara ini.

Beliau berkata, pasukan tindakan khas itu adalah di bawah kelolaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang akan menyediakan laporan mengenai cadangan dari segi dasar dan pelan tindakan untuk menggalakkan pembiayaan hijau swasta.

"Pasukan tindakan khas di bawah SC ini akan menghantar laporan cadangan kepada kerajaan menjelang akhir Julai ini.

"Kerajaan akan menilai cadangan yang dikemukakan dan berharap beberapa cadangan akan dapat dimasukkan dalam belanjawan tahun depan," katanya.

Berita Harian X