Selasa, 19 March 2019 | 2:49pm
Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

INFRASTAR bakal dilaksanakan secara mandatori

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang melaksanakan secara mandatori penarafan infrastruktur mampan (INFRASTAR), iaitu sistem yang melaksanakan penafaran bagi mengukur tahap kemapanan setiap projek infrastruktur di Malaysia.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata penilaian adalah penting dalam menentukan impak hasil penggunaan peralatan, sumber dan pengurusan sisa buangan di tapak pembinaan, dari segi ekologi dan persekitaran.

Antara lain, beliau berkata menerusi INFRASTAR, ia akan menilai sejauh mana langkah kemapanan yang diterima pakai oleh projek infrastruktur di Malaysia terutama di peringkat pra-reka dan pra-pembinaan.

"Dengan pembangunan projek infrastruktur boleh menyumbang kepada pelbagai kebimbangan ekologi dan kemampanan, keputusan untuk meneruskan projek berkenaan mestilah berlandaskan keseimbangan antara ekonomi, faedah sosial dan persekitaran.

"Pelancaran INFRASTAR pastinya menjadi satu lagi pencapaian hebat kepada Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 dalam melestarikan alam sekitar," katanya ketika melancarkan Minggu Pembinaan Antarabangsa 2019 (ICW 2019) di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia), Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali; Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid; dan Pengerusi Bersama UBM Malaysia, Tan Sri Mohd Azumi Mohamed.

ICW 2019 dianjurkan bersama pameran perdagangan, ASEAN Super 8 bermula hari ini hingga Khamis di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Baru berkata, setakat ini projek perintis INFRASTAR dilaksanakan ke atas lima projek infrastruktur di negara ini.

"Tiga daripadanya adalah projek kerajaan manakala dua adalah milik swasta. Lima projek ini adalah Loji Rawatan Kumbahan di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang; Loji Janakuasa di Sandakan, Sabah; pembinaan empangan Kahang di Kluang, Johor; Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) @ DUKE 3; dan Lebuhraya Pantai Barat (Banting ke Taiping - Seksyen 4)," katanya.

Berita Harian X