Rabu, 13 March 2019 | 5:26pm

'Turun naik pasaran luar kawalan kerajaan'

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia masih kekal kukuh meskipun berdepan dengan situasi turun naik pasaran saham, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, prestasi indeks penanda aras Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang berdepan penurunan kebelakangan ini adalah di luar kawalan kerajaan.

"Prestasi pasaran adalah tertakluk kepada keadaan pasaran itu sendiri. Kadangkala apabila prestasi saham negara asing naik, FBM KLCI akan turun dan apabila pasaran negara naik, ada juga pasaran lain yang jatuh," katanya pada sidang media selepas pelancaran Dana Pembiayaan Mapan (SDFF) bernilai RM1 bilion oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi BPMB, Datuk Zaiton Mohd Hassan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Bloomberg yang melaporkan indeks FBM KLCI susut lebih satu peratus tahun ini, manakala negara jiran Singapura, melonjak lima peratus dan Indonesia pula naik tiga peratus.

Laporan berkenaan menyatakan Malaysia sebagai satu-satunya pasaran yang mencatat penurunan dalam kalangan negara Asia.

Guan Eng berkata, beliau mengakui Bloomberg dan media lain mempunyai hak untuk melaporkan hal sedemikian.

Bagaimanapun, katanya rakyat diharap boleh merujuk angka dan unjuran lebih stabil bagi menunjukkan prestasi atau situasi sebenar negara kita.

"Janganlah kita tertumpu kepada laporan untuk satu ketika sahaja. Kita kena lihat dalam tempoh yang lama, sama ada bagi satu suku atau setahun," katanya.

Sebelum ini, Bloomberg dan media lain mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun lalu berkembang 4.5 peratus, namun ia merekodkan pertumbuhan 4.7 peratus.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersikap tidak adil terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines).

Katanya, Dr Mahathir hanya memberitahu mengenai pelbagai pilihan yang perlu dibuat ke atas syarikat penerbangan nasional itu berikutan merekodkan prestasi buruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Bekas Perdana Menteri itu mengeluarkan kenyataan seolah-olah kerajaan akan menutup atau menjual Malaysia Airlines, sedangkan Dr Mahathir tidak memutuskan sedemikian. Ia sekadar antara pilihan cadangan.

“Tindakan itu hanya akan menimbulkan rasa takut yang tidak diperlukan (dalam kalangan kakitangan syarikat itu)," katanya.

Guan Eng berucap pada perasmian pada pelancaran Dana Pembiayaan Mapan (SDFF) di Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X