Selasa, 12 March 2019 | 1:49pm
Pengerusi Bersama UBM Malaysia, Tan Sri Mohd Azumi Mohamed (tiga dari kiri) pada sidang akhbar ICW 2019 & Asean Super 8. Foto NSTP/Owee Ah Chun.

ICW 2019 jangka raih lebih RM500 juta

KUALA LUMPUR: Minggu Pembinaan Antarabangsa 2019 (ICW 2019) yang dianjurkan bersama pameran perdagangan, ASEAN Super 8 pada 19 hingga 21 Mac ini dijangka menjana nilai dagangan melebihi RM500 juta.

Pengurus Besar Negara UBM Malaysia, Gerard Willem Leeuwenburgh, berkata jangkaan lebih tinggi berbanding nilai dagangan mencecah RM500 juta yang dicatatkan tahun lalu dipacu penganjuran bersama dengan ICW 2019 yang diadakan buat kali pertama di negara ini.

“Acara tiga hari dijangka disertai lebih 20,000 pengunjung perdagangan dan profesional dan menjadi hos kepada 500 syarikat dari 50 negara yang terbabit dalam industri pembinaan, kejuruteraan, tenaga, jentera berat dan peralatan serta keselamatan,” katanya pada sidang media ICW 2019 dan ASEAN Super 8 di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Bersama UBM Malaysia, Tan Sri Mohd Azumi Mohamed; Pengurus Besar Kanan Sektor Dasar dan Korporat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia), Sariah Abd Karib; Ketua Sekretariat Persatuan Industri Fotovoltaik Malaysia (MPIA), Lionel Yap; dan Ahli Majlis Persatuan Pengurusan Projek dan Aset Malaysia (MAPMA), Zawidatul Asma Ghazali.

Sementara itu, Sariah menjelaskan, ICW 2019 dijangka meraih nilai jualan mencecah RM100 juta menerusi pemadanan perniagaan sepanjang tempoh penganjuran pameran edisi ke-19 itu.

“Daripada sasaran untuk dua acara utama iaitu ASEAN Super 8 dan ICW 2019 berjumlah melebihi RM500 juta, pemadanan perniagaan yang diperoleh dari ICW dijangka menyumbang sekitar RM100 juta.

“Tahun ini fokus ICW 2019 ‘Pembinaan menjangkaui 2020’ di mana kita akan memberi tumpuan kepada teknologi, inovasi dan penambahbaikan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM),” katanya.

Acara ASEAN Super 8 adalah gabungan lapan cara terbesar di ASEAN iaitu Pameran Kejuruteraan Elektrikal dan Mekanikal ASEAN; Pameran dan Persidangan Kebakaran dan Keselamatan Antarabangsa (IFSEC) Asia Tenggara; Pameran dan Persidangan Industri Elektrikal dan Tenaga Perdana ASEAN (TENAGA Expo & Forum 2019); Pameran dan Persidangan Solar ASEAN; Pameran dan Persidangan Lif ASEAN; ASEAN Ecolight; Ecobuild Asia Tenggara; dan HeavyMach.

ASEAN Super 8 dianjurkan bersama dengan ICW 2019 oleh UBM Malaysia dan CIDB Malaysia akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Antara syarikat yang menyertai acara berkenaan termasuk Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB); WCT Bhd; UES Heavy Machinery Sdn Bhd; Sime Darby Industrial Sdn Bhd; Dahua Security Malaysia Sdn Bhd; Hikvision Sdn Bhd; Western Digital; dan Leader Cable Industry Bhd.

Berita Harian X