Khamis, 7 March 2019 | 2:10pm
KIAN MING (dua, kiri) beramah mesra dengan penerima sijil pada Persidangan Industrial Internet Things (IIoT) Plugfest di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Kepala Batas. - Foto Bernama
KIAN MING (dua, kiri) beramah mesra dengan penerima sijil pada Persidangan Industrial Internet Things (IIoT) Plugfest di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Kepala Batas. - Foto Bernama

Kerugian Khazanah tidak jejas FDI

KEPALA BATAS: Kerugian dialami Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) tidak akan mempengaruhi atau memberi kesan kepada jumlah pelaburan asing ke Malaysia (FDI).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, berkata ia berikutan trend pelabur kini dilihat lebih bijak meneliti iklim pelaburan, khususnya yang berpotensi.

Katanya, pelabur di Malaysia juga mempunyai alasan berbeza, mengikut segmen pelaburan masing-masing, walaupun syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) itu mencatatkan kerugian.

“Contohnya, bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E) di Pulau Pinang, pelabur asing akan cari ekosistem yang betul untuk pembuatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Kebanyakan produk mereka pula tertumpu bagi pasaran eksport dan akan melihat lebih banyak mengenai iklim pelaburan yang baik.

“Namun, biasalah kadang-kadang dalam GLIC ada tahun baik dan ada kalanya tidak tetapi kita yakin Khazanah di bawah kepemimpinan baharu akan membawa prestasi lebih baik untuk tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerugian yang dialami Khazanah pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Plugfest 2019 di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Khazanah mencatatkan kerugian sebelum cukai RM6.271 bilion pada 2018, berbanding keuntungan RM2.896 bilion tahun sebelumnya, kerugian pertama sayap pelaburan kerajaan itu sejak 2005.

Nilai portfolio menerusi Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) merosot kepada RM91 bilion pada 2018, susut 21.6 peratus daripada RM116 bilion pada 2017.

Kian Ming berkata, kadar FDI mencatatkan peningkatan dalam prestasi pasaran saham, namun perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya bagi pelaburan jangka pendek.

“Kita berharap pelaburan akan lebih baik dan terus bertambah baik dalam jangka pendek, mahupun panjang.

“Ini kerana ia pengukur Indeks Prestasi Utama (KPI) diletakkan kerajaan bagi menunjukkan bahawa pelabur asing mempunyai keyakinan terhadap prospek ekonomi di Malaysia,” katanya.

Bagi 2018, jumlah dagangan dilaporkan pada RM1.88 trillion dan eksport berjumlah RM998 bilion dengan E& E ialah penyumbang eksport terbesar sekitar RM380 bilion, iaitu 38 peratus daripada jumlah dagangan tahun lalu.

Berita Harian X