Khamis, 7 March 2019 | 12:15pm
Melalui kerjasama dengan Condor Airlines, jumlah ketibaan dari Jerman disasarkan meningkat kepada 147,000 pada 2019.
Melalui kerjasama dengan Condor Airlines, jumlah ketibaan dari Jerman disasarkan meningkat kepada 147,000 pada 2019.

Tourism Malaysia, MAHB meterai kerjasama dengan Condor Airlines

KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memeterai Memorandum Kerjasama Bersama (MoJC) dengan Condor Airlines untuk menyokong operasi penerbangan syarikat penerbangan itu bagi laluan Frankfurt-Kuala Lumpur bagi musim panas 2019.

Dalam kenyataan hari ini, Tourism Malaysia dan MAHB berkata memorandum itu ditandatangani di Berlin semalam bersempena dengan ITB Berlin, pameran perdagangan pelancongan terbesar dunia, disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Perkembangan itu susulan kejayaan inisiatif serupa dilaksanakan bagi musim sejuk 2018 oleh ketiga-tiga pihak, yang menyaksikan Condor Airlines menawarkan perkhidmatan laluan Frankfurt-Kuala Lumpur berdasarkan faktor muatan lebih 90 peratus.

Mohamaddin berkata kejayaan kerjasama pertama dengan Condor Airlines pada 2018 telah membantu mengukuhkan pertapakan Malaysia di pasaran Jerman, yang menyumbang 17.1 peratus pertumbuhan ketibaan pelancong Jerman ke Malaysia tahun lepas.

“Kami berharap untuk terus mengukuhkan kehadiran kami dalam pasaran di sini khususnya menerusi kerjasama Condor Airlines dan MAHB ketika kami sedang giat mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Untuk musim panas 2019, Condor Airlines akan menawarkan perkhidmatan dua kali seminggu mulai 2 Mei hingga 31 Oktober, beroperasi mengguna pesawat B767-300 dengan kapasiti 235 tempat duduk, membabitkan sejumlah 25,000 tempat duduk sepanjang kempen itu.

Menerusi penerbangan berjadual oleh Condor Airlines, berserta dengan kerjasama dan promosi strategik yang lain dalam pasaran, Tourism Malaysia menyasarkan jumlah ketibaan dari Jerman meningkat kepada 147,000 pada 2019.

-BERNAMA

Berita Harian X