Ahad, 3 March 2019 | 4:31pm
Menteri Industri Utama, Teresa Kok (kiri) bersama Pengarah Kumpukan Eksekutif Bina Puri Holdings Berhad, Datuk Matthew Tee (tiga dari kiri) melihat peta kawasan tanah yang telah dibeli oleh pemilik, H'ng Kim Heng (tengah) di The Valley Bentong, semalam. - Foto Eizairi Shamsudin
Menteri Industri Utama, Teresa Kok (kiri) bersama Pengarah Kumpukan Eksekutif Bina Puri Holdings Berhad, Datuk Matthew Tee (tiga dari kiri) melihat peta kawasan tanah yang telah dibeli oleh pemilik, H'ng Kim Heng (tengah) di The Valley Bentong, semalam. - Foto Eizairi Shamsudin

Buluh, nanas, kelapa cuma cadangan tanaman alternatif - Teresa Kok

KUALA LUMPUR: Buluh, nanas dan kelapa adalah cadangan alternatif kepada pekebun kecil yang selama ini bergantung hanya kepada tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan dan bukannya sebagai pengganti.

“Kenyataan saya hanya merujuk kepada beberapa kawasan yang bersesuaian di Pahang, yang kebetulannya mempunyai banyak buluh,” kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok bagi menjelaskan laporan sebuah akhbar bertajuk 'Lupakan Kelapa Sawit, Tanam Buluh’ yang disiarkan hari ini.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau menyifatkan laporan akhbar itu sebagai tidak wajar walaupun isi kandungan laporan berkenaan boleh diterima.

Pada sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Projek The Valley @ Bentong, Pahang, semalam, Kok berkata, beliau ditanya oleh pemberita mengenai hasrat kerajaan untuk mengehadkan perluasan penanaman kelapa sawit.

“Justeru, saya menjelaskan bahawa kerajaan berbuat demikian sebagai antara langkah kita dalam melawan sentimen anti-minyak sawit di Eropah yang kini menjejaskan pengeksportan minyak sawit negara ke pasaran global, khususnya negara Eropah,” katanya.

Oleh itu, Kementerian Industri Utama sedang mengambil langkah untuk menangani pengaruh kempen anti-minyak sawit di Eropah yang mutakhir ini menjadi semakin kuat.

“Saya juga memberitahu wartawan semalam bahawa harga minyak sawit Malaysia jatuh dengan agak teruk tahun lalu. Ini sekali gus menjejaskan pendapatan ramai pekebun kecil.”

“Oleh sebab itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati rakyat, termasuk kementerian saya supaya tidak terlalu bergantung kepada satu-satu jenis tanaman.

“Perdana menteri menegaskan mengenai pentingnya untuk Malaysia mengkaji kesesuaian penanaman tanaman alternatif bagi mempelbagaikan pendapatan pekebun kecil.”

Bagaimanapun, pemilihan tanaman lain bergantung kepada kesesuaian tempat.

“Ada tempat yang sesuai untuk tanam pokok kelapa, ada yang lebih sesuai untuk nanas atau pokok durian.

“Dengan penjelasan ini, saya berharap kekeliruan dapat diperjelaskan,” katanya.

— BERNAMA

Berita Harian X