Selasa, 26 Februari 2019 | 3:20pm
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Wan Latiff Wan Musa sasar angka jualan lebih tinggi. - NSTP/Hafiz Sohaimi
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Wan Latiff Wan Musa sasar angka jualan lebih tinggi. - NSTP/Hafiz Sohaimi

MIHAS 2019 sasar angka jualan lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019 diunjur mencatatkan peningkatan nilai transaksi jualan sehingga tiga peratus tahun ini berbanding RM1.5 bilion yang dicapai tahun lalu, disokong oleh peningkatan peserta pameran dan produk baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Wan Latiff Wan Musa, berkata edisi ke-16 ini menerima sambutan menggalakkan apabila berjaya mengumpulkan peserta pameran dan pelawat perdagangan dari lebih 70 negara termasuk Filipina, Korea Selatan, Jepun, Perancis, Turki dan Arab Saudi.

“Edisi kali ini akan menumpukan kepada enam komponen utama yang mana terdapat beberapa persidangan antarabangsa yang disertai oleh beberapa badan halal dari negara luar seperti Indonesia, Brunei dan Thailand.

“Tahun ini juga kita wujudkan segmen pakaian Muslimah, yang mana kita mahu semua tahu, ia juga sebahagian daripada industri halal.

“Sebagai pameran halal terbesar dunia, MIHAS akan terus memimpin dan membantu industri dengan membantu perniagaan dan pelaburan dalam sektor halal pada peringkat dunia,” katanya sempena sidang media mengenai MIHAS 2019 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya edisi kali ini dijangka menarik lebih 27,000 pengunjung berbanding 22,000 tahun lalu.

“Sepanjang pameran berkenaan, sebanyak 2,000 padanan perniagaan dijangka berlangsung,” katanya.

Edisi Ke-16 MIHAS 2019 akan berlangsung dari 3 hingga 6 April ini di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia.

Sementara itu, Wan Latiff berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa supaya memanfaatkan peluang dalam industri halal global yang mana ia dijangka bernilai AS$6 trilion menjelang 2020.

“Ketika ini, PKS yang memiliki persijilan halal dan bersedia untuk dieksport hanya kira-kira 2,000 daripada 6,000 kesemuanya.

“Kita mahu banyak lagi PKS menembusi pasaran halal dengan meneroka segmen baru seperti kewangan Islam, farmaseutikal, kosmetik dan bahan asas makanan,” katanya.

Beliau berkata, dengan bantuan MATRADE dan galakan daripada agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), nilai eksport IKS akan berkembang sebanyak 23 peratus daripada RM1.118 trilion menjelang 2020 berbanding 17 peratus pada 2017.

Berita Harian X