Isnin, 25 Februari 2019 | 1:31pm

Pasaran saham China, yuan melonjak ke paras tertinggi

SHANGHAI: Saham China dan yuan mengukuh ke paras tertinggi sejak pertengahan 2018 pada sesi dagangan pagi ini, apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan beliau akan menangguhkan tarif terhadap barangan China, dengan rundingan perdagangan berjalan lancar.

Trump berkata, beliau akan mengadakan pertemuan bersama Presiden China, Xi Jinping untuk memeterai perjanjian sekiranya rundingan itu terus mencatat kemajuan.

Indeks penanda aras China, Shanghai Composite meningkat 3.3 peratus pada akhir sesi dagangan pagi, selepas mencecah paras tertinggi sejak Julai tahun lalu.

Indeks utama CSI300 menceah paras tertingginya sejak Jun dan mencatat kenaikan 3.6 peratus.

Selepas menyusut lebih 11 peratus pada suku keempat 2018 berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan domestik yang lebih perlahan dan perang perdagangan, indeks Shanghai Composite mencatat lantunan pada 2019, bertambah lebih 14 peratus setakat ini.

Laporan pada minggu lalu bahawa China dan AS mencapai kemajuan pada rundingan dagtangan itu sekali gus mendorong CSI300 merekodkan prestasi mingguan terbaik dalam tempoh tiga tahun apabila pelabur menjangkakan kedua-dua negara itu akan mencapai persetujuan sebelum tarkih akhir 1 Mac depan.

Penganalisis haitong Securities di Shanghai, Zhang Qi, berkata pengukuhan pasaran selepas kemerosotan tahun lalu didorong peningkatan aliran masuk asing, sokongan dasar dan keadaan mata wang yang lebih longgar.

Namun, katanya, tanpa faktor luaran seperti sokongan daripada rundingan perdagangan dengan AS, pasaran China tidak akan mencapai paras semasa.

Meskipun lonjakan dalam ekuiti pada Isnin, Ketua Multi-Assets Quant Solutions Asia Pacific di BNP Paribas Asset Management, Paul Sandhu, berkata dinamik pasaran dijangka kekal pada jangka pendek.

"Perbincangan tarif sebelum ini menjadi punca ketidaktentuan pasaran serta penurunan pada tahap tertentu. Disebabkan perbincangan mengenai tarif diadakan beberapa kali dalam tempoh terdekat, kebanyakan daripada faktor ini akan diambil kira," katanya.

Sementara itu, Ketua Strategi Pelaburan Guotai Junan International, Victor Huang, berkata pelabur kekal berhati-hati menjelang laporan pendapatan syarikat dan unjuran 2019 yang akan diumumkan pada Mac ini.

"Persekitaran ekonomi global tidak meningkat dengan begitu ketara," katanya sambil menambah pasaran saham-A masih mempunyai ruang untuk peningkatan berbanding pasaran Hong Kong.

-Reuters

Berita Harian X