Ahad, 17 Februari 2019 | 2:54pm

Harga sawit dijangka kekal mapan: JP Morgan

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal mapan tahun ini pada paras RM2,500 satu tan, demikian mengikut JP Morgan.

Bank pelaburan multinasional itu berkata, kemapanan harga komoditi berkenaan disokong oleh penurunan berterusan inventori secara beransur-ansur pada tahun ini.

Katanya, ia mengunjurkan pertumbuhan permintaan minyak sawit global sebanyak enam peratus akan mengatasi pertumbuhan bekalan yang diunjurkan pada kadar empat peratus.

"Pemacu utama permintaan adalah permintaan biodiesel yang tinggi; peningkatan permintaan dari India susulan pengurangan duti import dan kemungkinan peralihan permintaan minyak boleh dimakan di China kepada MSM daripada soya," katanya dalam nota penyelidikannya mengenai perladangan ASEAN.

JP Morgan berkata, aliran menurun inventori sawit sedang berlaku dengan menyaksikan di Malaysia, inventori komoditi itu sudah mula jatuh bermula Januari tahun ini selepas mencecah paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun pada Disember 2018.

Di Indonesia pula, katanya, inventori minyak sawit sudah mencatatkan kejatuhan secara konsisten sejak Oktober 2018 didorong oleh program biodiesel B20 yang dilaksanakan oleh negara itu.

“Gabungan jumlah inventori kedua-dua negara, Malaysia dan Indonesia sudah mencatatkan kejatuhan sejak November 2018. Indonesia menguasai 55-60 peratus pengeluaran global sementara Malaysia menguasai 30 peratus,” katanya.

JP Morgan berkata, MSM masih kompetitif berbanding minyak soya dan minyak mentah berdasarkan kepada rekod.

Ia berkata, diskaun MSM kepada minyak mentah kini berada pada paras AS$30 setan berbanding diskaun AS$100-AS$200 satu tan bagi tempoh Oktober dan Disember 2018.

Bagaimanapun, katanya ia masih di bawah julat premium sebanyak AS$95 setan.

"Berbanding minyak soya, diskaun minyak sawit ketika ini berada pada paras AS$160 satu tan bagi kontrak semasa berbanding paras sejarah purata diskaun lima tahun pada paras AS$90 satu tan.

Berita Harian X