Jumaat, 15 Februari 2019 | 3:43pm
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. - Foto Khairull Azry Bidin
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. - Foto Khairull Azry Bidin

Tender projek LSS3 RM2 bilion dibuka akhir Februari

PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) membuka tawaran bagi projek pembangunan Loji Jana Kuasa Solar Berskala Besar pusingan ketiga (LSS3) bernilai RM2 bilion bermula 27 Februari hingga Ogos ini.

Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata tawaran berkenaan sejajar dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 20 peratus menjelang 2025.

Beliau berkata, MESTECC amat mengalu-alukan pengusaha menawarkan kadar terendah bagi pembinaan LSS3 ini yang secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada pengguna.

"Bagi memastikan mekanisma penawaran dibuat secara adil dan berupaya memberikan kadar tarif yang terbaik, kerajaan turut membuat penambahbaikan untuk LSS3 ini seperti memansuhkan penawaran kuota berdasarkan julat kapasiti dalam proses bidaan seperti yang dibuat sebelum ini. Cara itu membolehkan pemaju dapat membida pada kapasiti yang lebih tinggi.

"Selain itu, had penawaran kuota kepada pemaju turut ditingkatkan kepada 100 mengawatt (MW) berbanding sebelum ini sebanyak 30MW. Tawaran kapasiti dari 1MW kepada 100MW ini boleh dilaksanakan di satu lokasi atau pun secara agregat di lokasi berasingan.

"Langkah itu bertujuan untuk memastikan pemaju projek mendapat kadar pembiayaan yang lebih baik daripada institusi kewangan melalui skala lebih besar, seterusnya dapat menawarkan penurunan harga tarif elektrik," katanya dalam sidang media khas Pelaksanaan Pembidaan Terbuka Projek LSS3, di sini, hari ini.

Bee Yin berkata, kerajaan turut menetapkan komponen kejuruteraan, pembinaan dan pentauliahan bagi projek LSS3 perlu menggunakan sepenuhnya keupayaan dari kontraktor tempatan yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

"Bagi pembida yang berjaya mereka boleh mengambil bahagian dalam pasaran ‘New Enhanced Dispatch Arrangement’ (NEDA) yang dikendalikan oleh Single Buyer. Langkah ini akan memberi nilai tambah kepada pemaju projek kerana pendapatan tambahan dapat diperolehi melalui penjualan lebihan tenaga yang dijana," katanya.

Beliau berkata, di bawah LSS2 pemaju solar dapat menawarkan kadar tarif serendah 33.98 sen kilowat per jam dan dijangka akan terus menurun ke tahap yang lebih rendah serta menandingi kadar tarif yang ditawarkan loji jana kuasa yang menggunakan bahan api lain seperti gas dan arang batu menjelang 2030.

"Dengan pelaksanaan LSS3 itu, setiap 1MW loji solar dijangka dapat menjana tenaga sebanyak 1,490MW per jam yang berupaya membekalkan elektrik kepada hampir 160 rumah. Selain itu ia juga dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 1,034 tan setahun bersamaan dengan jumlah penyerapan karbon dioksida oleh kawasan hutan seluas kira-kira 1,000 ekar.

"Dari segi manfaat ekonomi pula, pelaksanaan projek LSS3 mampu menjana pelaburan berjumlah RM2 bilion dengan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini," katanya.

Berita Harian X