Rabu, 13 Februari 2019 | 12:08pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Sekatan AS ke atas Venezuela naikkan harga minyak

SINGAPURA: Harga minyak menokok hari ini berikutan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) berkata ia mengurangkan bekalan lebih daripada sepatutnya pada Januari selain faktor sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport minyak Venezuela.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$53.70 setong pada 0344 GMT, naik 60 sen, atau 1.1 peratus, daripada penutup sebelumnya.

Niaga hadapan minyak penanda aras antarabangsa Brent pula naik 1.1 peratus, atau 69 sen, kepada AS$63.11 setong.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA di Singapura, Jeffrey Halley, berkata harga minyak dirangsang selepas Arab Saudi mengumumkan ia mengurangkan pengeluaran dan eksport harian sebanyak 500,000 tong sehari, tambahan kepada kuota pemotongan dipersetujui OPEC sebelum ini.

OPEC, yang diterajui Arab Saudi berkata ia telah mengurangkan pengeluarannya hampir 800,000 tong sehari pada Januari kepada 30.81 juta tong.

Isu pembekalan negara anggota OPEC, Venezuela, juga memperkuat harga minyak kerana negara Amerika Selatan itu mengalami krisis politik dan ekonomi, dengan Washington memperkenalkan sekatan eksport petroleum ke atas PDVSA, syarikat tenaga milik kerajaan negara itu.

Walaupun persengketaan politik antara Venezuela dan Amerika Syarikat, loji penapis AS adalah pembeli terbesar minyak mentah sebelum ini. - Reuters

Berita Harian X