Ahad, 10 Februari 2019 | 8:12pm
Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer (kanan) dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin (dua dari kanan). - Ihsan BLOOMBERG
Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer (kanan) dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin (dua dari kanan). - Ihsan BLOOMBERG

Rundingan perdagangan AS-China bersambung minggu depan, tumpu harta intelek

WASHINGTON: Perunding Amerika Syarikat (AS) sedang bersedia untuk menekan China minggu depan atas tuntutan lama mengenai bagaimana negara itu memperlakukan harta intelek syarikat-syarikat AS untuk memeterai perjanjian perdagangan yang dapat menghalang kenaikan tarif import dari China.

Pusingan baharu rundingan perdagangan bermula di Beijing esok, selepas rundingan terakhir di Washington minggu lalu berakhir tanpa perjanjian dan dengan perunding utama AS mengisytiharkan bahawa lebih banyak kerja yang perlu dilakukan.

Seorang pegawai Rumah Putih Jumaat lalu berkata, bahawa persiapan sedang berjalan dan rundingan itu akan terus memberi tumpuan kepada menekan Beijing untuk membuat pembaharuan struktur.

Rumah Putih telah mengumumkan tempoh masa untuk rundingan dengan Beijing. Dalam dalam satu kenyataan ia berkata, pegawai peringkat rendah akan memulakan mesyuarat pada Isnin, yang diketuai oleh Timbalan Wakil Perdagangan AS, Jeffrey Gerrish di pihak negara itu.

Rundingan peringkat utama yang lebih tinggi akan berlangsung pada Khamis dan Jumaat dengan kehadiran Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin.

Lighthizer, yang dinamakan oleh Trump untuk menerajui proses itu selepas bersetuju dengan gencatan senjata selama 90 hari dalam perang perdagangan dengan Beijing, telah menjadi penyokong kuat untuk mendorong China supaya melakukan reformasi sedemikian dan mengakhiri apa yang dilihat oleh AS sebagai amalan perdagangan yang tidak adil termasuk mencuri harta intelek dan memaksa syarikat AS untuk berkongsi teknologi mereka dengan syarikat China.

China menafikan ia terbabit dalam amalan sedemikian.

"AS adalah pengeluar teknologi, inovasi, serta pengetahuan dan rahsia perdagangan yang hebat. Dan, kita perlu beroperasi dalam persekitaran di mana perkara-perkara itu dilindungi," kata Lighthizer minggu lalu selepas taklimat di Rumah Putih.

“Saya langsung tidak meramalkan kejayaan; terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan," katanya.

Kedua-dua pihak cuba untuk menyelesaikan kesepakatan menjelang tarikh akhir 1 Mac apabila tarif AS terhadap import China bernilai AS$200 bilion (RM813.8 bilion) dijadual meningkat kepada 25 peratus daripada 10 peratus.

Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan Sabtu lalu berkata, bahawa kedua-dua negara akan mempunyai "perbincangan yang lebih mendalam mengenai isu-isu kebimbangan bersama" berdasarkan apa yang mereka rundingkan pada pusingan terakhir perbincangan di Washington. Kenyataan itu bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.

Duta China ke AS, Cui Tiankai, berkata di Michigan Jumaat lalu bahawa pemikiran "permainan sifar" adalah merosakkan hubungan China-AS, agensi berita kerajaan China, Xinhua melaporkan.

Syarikat China dan AS perlu bersaing dan bekerjasama antara satu sama lain, kata Cui.

"Kisah sebenar dalam perniagaan bukanlah hitam dan putih," laporan itu memetiknya sebagai berkata.

Trump pada Khamis lalu berkata, beliau tidak merancang untuk bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping, sebelum tarikh akhir itu, menjejaskan harapan bahawa perjanjian perdagangan dapat dicapai dengan cepat. - Reuters

Berita Harian X