Khamis, 7 Februari 2019 | 2:42pm

Volvo Cars mula terkesan daripada perang tarif AS-China

STOCKHOLM: Volvo Cars, syarikat automotif dimiliki Geely dari China, melaporkan pendapatan tahunan lebih tinggi, tetapi berkata marjin keuntungannya susut dan dijangka terus mengalami tekanan tahun ini.

Pengeluar-pengeluar kenderaan berhadapan peningkatan kos dan tekanan harga di sesetengah pasaran berikutan perang perdagangan antara Washington dan Beijing pada 2018 serta permintaan yang lebih perlahan dari Eropah dan China, pasaran kenderaan terbesar.

"Bagi 2019, menyaksikan satu lagi pertumbuhan pengeluaran berikutan kami terus meraih manfaat daripada program produk yang mantap dan peningkatan kapasiti.

“Bagaimanapun, kami perlu realistik dan mengakui bahawa marjin akan terus mengalami tekanan yang berterusan," kata Ketua Eksekutif Volvo, Hakan Samuelsson dalam satu kenyataan.

Pembekal dan syarikat automotif mengeluarkan amaran baharu dan keputusan kewangan yang tersasar tahun ini, dengan Daimler minggu ini melaporkan penyusutan keuntungan operasi pada suku keempat.

Volvo berkata, keuntungan operasinya meningkat 0.9 peratus kepada 14.2 bilion crown (AS$1.5 bilion) walaupun marjinnya jatuh kepada 5.6 peratus daripada 6.7 peratus, sungguhpun pendapatan 2018 meningkat 21 peratus kepada 252.7 bilion crown.

Volvo berada di landasan pertumbuhan di bawah payung Geely, mencatat rekod jualan empat tahun berturut-turut, disokong usaha berterusannya ke dalam segmen kereta premium, dan memberi persaingan kepada Mercedes-Benz dan BMW.

Firma yang berpangkalan di Sweden itu menunda rancangan untuk disenaraikan di bursa saham tahun lalu, disebabkan kesan buruk daripada perang tarif dan kelembapan industri, antaranya. - Reuters

Berita Harian X