Khamis, 31 Januari 2019 | 5:49pm

Samsung Electronics berdepan kerugian, permintaan produk utama berkurangan

SEOUL: Samsung Electronics, pembuat telefon pintar dan memori cip terbesar di dunia, mengumumkan penurunan bagi keuntungan bersih suku keempat pada Khamis, berikutan kejatuhan permintaan bagi produk utamanya.

Keuntungan bersih firma itu bagi tempoh Oktober hingga Disember berjumlah 8.46 trilion won (AS$7.6 bilion), jatuh 31 peratus tahun ke tahun.

Firma berkenaan adalah anak syarikat, Samsung Group, iaitu konglomerat terbesar yang menguasai perniagaan dalam ekonomi ke-11 terbesar di dunia, dan ia memainkan peranan penting untuk pertumbuhan sihat bagi ekonomi Korea Selatan.

Syarikat berkenaan telah menikmati rekod keuntungan dalam beberapa tahun kebelakangan ini meskipun terdapat beberapa kekurangan, termasuk tuduhan salah laku dan penahanan pewaris Kumpulan Samsung.

Bagaimanapun situasi kini berubah, apabila harga cip semakin jatuh apabila bekalan global meningkat dan permintaan semakin lemah.

Gergasi itu juga perlu menghadapi persaingan sukar dalam pasaran telefon pintar terutama dari China seperti Huawei - yang kini melepasi Apple untuk mengambil kedudukan tempat kedua tahun lalu - dengan menawarkan peranti berkualiti pada harga lebih rendah.

Samsung Electronics dalam satu kenyataan berkata, faktor perniagaan dan makroekonomi yang kurang memberangsangkan menyebabkan prestasi semakin perlahan pada suku akhir, apabila pengurangan dalam permintaan bagi penggunaan cip memori dalam pusat data serta telefon pintar.

“Ia menjangkakan permintaan bagi cip akan kekal lemah dalam tempoh Januari hingga Mac,” katanya.

--AFP

Berita Harian X